Retreat Alpha Belia penuh makna di Paroki St Anthony, Sarikei

Oleh Michelina Myra

SARIKEI — Seramai 23 orang belia dari Paroki St Anthony di sini menjalankan Kursus Alpha Belia dalam Bahasa Malaysia pada 4–6 Ogos 2023 di House of Emmaus di Gereja St Anthony. 

Retreat yang julung kali diadakan itu adalah untuk persediaan mereka menjadi fasilitator dan pelayan apabila menganjurkan program Alpha Belia pada 29–31 Ogos 2023.

Peserta retreat itu dipermudahkan dan dibimbing oleh pasukan pendukung Alpha Belia Konteks Katolik dalam Bahasa Malaysia dari Keuskupan Agung Kuching yang disertai Fr Galvin Richard Ngumbang, Pengerusi Komisi bagi Misi dan Pembangunan Insan Keuskupan Agung Kuching. 

Semasa sesi pengenalan kepada Alpha, para tetamu dimaklumkan bahawa mereka harus bertindak seperti tuan rumah atau ketua keluarga dan pelayan kepada ahli keluarga mereka, iaitu ahli kumpulan masing-masing.

Antara sesi yang dijalankan semasa program tersebut adalah ceramah langsung dan ceramah menggunakan video Alpha Youth Film Series, dan para peserta turut mengadakan sesi perkongsian dalam kumpulan. 

Selain Misa Kudus harian, peserta Alpha Belia turut menyambut Sakramen Rekonsiliasi untuk menyediakan diri menerima kuasa Roh Kudus, dan mereka seterusnya berdoa kelompok atau ministering iaitu berdoa dan mendoakan rakan-rakan dalam kumpulan masing-masing.

Terdapat juga pelbagai aktiviti selingan seperti nyanyian penyembahan dan juga permainan.

Sebahagian testimoni daripada peserta retreat Alpha Belia Sarikei:

“Banyak persoalan dan keraguan terjawab melalui pengalaman yang menyeronokkan ini. Ia juga memberi impak yang baik kepada diri saya.” – Farrel Francis Jugah, 21 tahun

“Alpha memberi pengalaman baharu dan membuatkan saya lebih mengenali Yesus. Semasa sesi ministering, saya berasa jiwa saya tenang ketika didoakan dan cara ini meningkatkan keyakinan diri saya untuk mendoakan orang lain.” – Veronica Dina, 24 tahun

“Program Alpha Belia ini membantu saya meneroka pengalaman atau kebolehan sebagai seorang belia Katolik seperti mengajar kita untuk saling mendoakan sesama.” – Priscilla 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.