Oleh Jacqueline Sima anak Blanda
SARATOK — Pada 12 Ogos 2023, Marian Guild St Ignatius, Saratok dengan kerjasama Ministri Belia Gereja (CYM) telah mengadakan program outreach ke Gereja St Mathew, Meruji.
Program ini diadakan bertujuan untuk membantu membimbing umat dan belia di St Mathew, Meruji, terutamanya dalam persediaan bagi perayaan Misa Pemberkatan Gereja Baharu St Mathew, Meruji yang akan datang.
Pengisian program itu telah dimulakan dengan sesi nyanyian bersama yang diketuai oleh Natalie Serani.
Program diteruskan dengan perkongsian daripada Rita Aba yang menerangkan tentang tatacara dalam pengurusan liturgi seperti pembacaan sabda dan komentator.
Sementara itu, Roselinder John turut memberikan perkongsian mengenai tatacara dalam mengendalikan Perayaan Ekaristi.
Tidak ketinggalan juga Marian Licha yang turut memberikan penerangan kepada umat St Mathew, Meruji mengenai tanggungjawab sebagai ahli Marian Guild kepada gereja.
Natalie Serani turut berkongsi pengalaman serta penjelasan tentang penyediaan lagu dan persediaan ahli koir dan ahli muzik sebelum dan semasa perayaan Misa Kudus dijalankan.
Para belia serta umat di St Mathew, Meruji Kabo juga telah didedahkan dan diberikan bimbangan secara praktikal supaya mereka lebih mendalami serta memahami tatacara mengendalikan tugasan utama dalam Perayaan Ekaristi.
Akhir sekali, ahli Marian Guild St Ignatius telah memberikan sumbangan bakul makanan kepada semua umat di Meruji sebagai tanda sokongan dan penghargaan di atas kerjasama yang diberikan.
Adalah diharapkan agar melalui program seperti ini, umat dan belia akan lebih berkomited dan bersemangat melayani di gereja.