Sambutan Pesta Santa Anna, Penaung Gereja St Ann, Kota Padawan

TERIMA KASIH… Uskup Agung Simon (kanan) menerima cenderahati daripada Rektor Gereja Paroki St Ann, Friar Don Don Ramerez, OFM.

Oleh Augustine Leeroy Garet

KOTA PADAWAN — “Belas kasih Tuhan adalah daripada satu generasi ke satu generasi” merupakan kata-kata Uskup Agung Simon Poh di Misa Kesyukuran Pesta Santa Anna yang lalu.

Misa Kesyukuran telah diadakan pada 23 Julai 2023, jam 10.30 pagi yang merupakan juga Hari Minggu untuk mendoakan warga tua dan datuk serta nenek.

Uskup Agung Simon turut menyentuh tentang peranan dan sumbangan yang diberikan oleh datuk dan nenek, khususnya dengan mewariskan iman dan kepercayaan Katolik kepada anak serta cucu.

Sebelum Misa Kudus bermula, Uskup Agung Simon disambut dengan paluan gong dan muzik kebudayaan.

Sebaik sahaja loceng gereja dibunyikan, tarian kebudayaan daripada Kampung Tijirak telah dipersembahkan kepada jemaat.

Semasa Misa Kesyukuran tersebut juga seramai 15 orang pemain gitar mengiringi muzik dan koir gabungan daripada beberapa zon yang terlibat.

Misa tersebut dirayakan bersama dua paderi paroki, Friar David Au, OFM dan Friar Joseph Lee, OFM serta mantan rektor Gereja St Ann, Friar Gerard Victor, OFM.

“Santa Anna, Santa Anna, berdoalah bagi kami semua” merupakan salah satu bait korus lagu baharu yang telah ditulis oleh seorang umat Paroki Santa Anna sebagai hadiah bagi pesta penaung paroki tersebut.

Selepas sahaja Misa Kudus selesai, Uskup Agung Simon bersama para friar dan semua umat terus bergerak ke hadapan pintu masuk gereja untuk menyaksikan persembahan gendang 24 Musim daripada Sekolah Menengah Kebangsaan Wira Penrissen.

Ia disusuli dengan persembahan tarian kebudayaan daripada belia Kampung Seratau.

ASYIK… 15 orang pemain gitar yang mengiringi koir gabungan semasa Misa Kudus.

Syukur kepada Tuhan kerana perayaan pada tahun ini dimulakan seawal bulan Mei dengan Hari Jualan Komuniti Zon yang terdiri daripada Zon Taman, Zon Simpok, Zon Teng Bukap, Zon Siburan dan Zon Penrissen.

Novena kepada Santa Anna dimulai pada 14 Julai lalu dengan Misa Pembukaan yang dirayakan oleh Rektor Gereja Santa Ann, Friar Don Don Ramerez, OFM.

Sebaik sahaja Misa Kudus selesai, novena hari pertama diteruskan oleh ketua sembahyang dari lima zon bersama koir dan pemuzik.

Tujuan novena tersebut adalah untuk seluruh umat paroki memohon agar Santa Anna mendoakan setiap anggota, khususnya dari segi pemintaan masing-masing.

SEDIA MELAYAN… Ketua Sembahyang yang memperbaharui ikrar komitmen kepada Kristus dan Gereja-Nya.

Selepas bernovena selama sembilan malam, aktiviti diteruskan dengan Misa Tridium dengan tema tersendiri, iaitu Misa Tridum pertama (23 Julai) secara khusus mendoakan pasangan yang ingin mendapatkan cahaya mata.

Pada Misa Tridium kedua (24 Julai) pula, doa dipanjatkan bagi golongan ibu tunggal atau wanita manakala Misa Tridium ketiga (25 Julai) mendoakan golongan datuk dan nenek serta warga tua.

Semasa Misa Memperingati Santo Yoakim dan Santa Anna pada 26 Julai lalu, kira-kira 100 orang Pelayan Komuni Bukan Lazim dan 300 orang Ketua Sembahyang di bawah Paroki Santa Anna telah memperbaharui ikrar komitmen mereka di hadapan Rektor Paroki dalam pelayanan, khususnya di kampung mahupun komuniti masing-masing.

Hasil daripada Sinod Uskup yang lalu, penyampaian maklumat dan maklum balas merupakan antara perkara yang telah disebut dan perlu diperkasakan lagi.

Sehubungan itu, Channel Telegram Komuniti Paroki Santa Anna dan Kotak Cadangan telah disediakan untuk mencapai maklumat daripada sinod tersebut.

Pada misa tersebut juga, Pengerusi Majlis Pastoral Paroki Santa Anna, Judas Ligon, bersama Exco Komunikasi dan Sosial, Augustine Leeroy Garet, menyampaikan Kod QR dan kotak cadangan sebagai perasmian simbolik.

Umat digalakkan untuk menyertai telegram berkenaan bagi mendapatkan maklumat terkini daripada pihak paroki.

INOVASI… Sesi penyerahan Kotak Cadangan dan Kod QR kepada Rektor.

Selain itu, satu lagi detik bersejarah bagi Paroki Santa Anna, berkat cinta kasih dan karunia Tuhan Yesus melalui kuasa Roh Kudus, ialah apabila salah seorang umat paroki mencipta dua buah lagu baharu berjudul Santa Anna, Penaung Kami dan Kami Bersyukur.

Lagu Santa Anna, Penaung Kami dicipta khas sebagai hadiah kepada Penaung Paroki Santa Anna yang sungguh teguh iman dan tidak pernah berputus asa, perkara yang seharusnya menjadi teladan bagi semua umat.

Bagi lagu Kami Bersyukur pula, ia merupakan satu lagu kesyukuran dan terima kasih kepada Tuhan Yesus atas anugerah Ekaristi, iaitu Tubuh, Darah dan Keilahian-Nya sendiri, kepada umat manusia demi pengampunan dosa.

Pesta jualan yang berlangsung pada 29 dan 30 Julai lalu, sebanyak 95 buah gerai telah dibuka untuk kampung, taman dan individu.

Ramai umat hadir untuk sama-sama memeriahkan perayaan sambil membeli dan menderma di gerai-gerai yang menjual aneka makanan, tanaman, air minuman, hasil kampung, pakaian, produk pelancongan dan pelbagai lagi.

TERBAIK… Antara gerai jualan yang memeriahkan Pesta Santa Anna.

Pertandingan tarian etnik kreatif telah dianjurkan oleh Ministri Belia Paroki.

Liturgi Kanak-kanak juga mengadakan persembahan tarian, nyanyian dan pertunjukan fesyen bagi menglibatkan kanak-kanak dan belia.

SEGAR… Persembahan daripada Liturgi Kanak-kanak.
UNIK… Pertandingan Tarian Etnik Kreatif turut diadakan.

Turut diadakan juga persembahan lagu tajaan dan suara emas bagi meningkatkan jumlah kutipan untuk pembangunan gereja, khasnya tapak untuk meletakkan kenderaan dan membangunkan jalan salib.

Artis tempatan, Ramles Walter, yang terkenal di negeri Sarawak, telah menghiburkan pengunjung pesta dengan membawa lagu Ensiban dan tiga buah lagu lain.

Kumpulan D’Braderz mengiringi persembahan yang dinyanyikan secara langsung, termasuk semasa persembahan nyanyian suara emas oleh Friar Don Don Ramerez.

‘ARTIS’ TERJUN… Persembahan nyanyian suara emas oleh Friar Don Don Ramerez.
DIHARGAI… Penyampaian cenderahati kepada Ramlez Walter bersama Rektor Gereja dan pengacara majlis.

Segala pujian dan kesyukuran hanya bagi Tuhan Yesus kerana segala perancangan bagi Sambutan Pesta Santa Anna, khususnya Pameran Jualan, Misa dan Novena, yang telah berlangsung dengan jayanya.

Terima kasih kepada Mick Long Bridal di atas ikhsan bagi penggunaan gambar yang telah diambil. Antara acara sambungan sempena sambutan Pesta Santa Anna pada tahun ini adalah Hari Komuniti Zon bagi zon berlainan, Majlis Makan Malam pada 29 September 2023 di Dewan Masyarakat Siburan, dan Cabutan Tiket Bertuah pada Hari Minggu Kristus Raja pada 26 November 2023, selepas Misa jam 10.30 pagi yang akan dirayakan oleh Uskup Agung Simon.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.