Berkat keluarga sempena Gawai Dayak

CERIA… Umat bergambar bersama Fr Jerome Juleng (dua kanan). (Gambar: Katekis Grace)

Oleh Jessica Ruja Raphael

SARATOK — Perayaan Gawai Dayak berbeza pada tahun ini di sini apabila acara ‘Doa Berkat Keluarga Sempena Perayaan Gawai Dayak’ julung kali dianjurkan oleh belia Gereja St Ignatius, Saratok pada 1 hingga 2 Jun 2023.

Acara tersebut dijalankan seiringan dengan konsep tradisi kunjung mengunjung, atau ngabang dalam bahasa Iban, ke komuniti atau umat gereja.

BERKAT… Berdoa kepada Tuhan untuk memberkati keluarga agar diberikan kesejahteraan dan keseimbangan dalam kehidupan. (Gambar: Natalie Serani)

Memandangkan perayaan ini menandakan berakhirnya musim menuai, golongan belia telah menyambutnya dengan mengadakan doa berkat bagi setiap ahli keluarga yang perlu didoakan sebagai aktiviti utama.

Tujuannya adalah untuk mengangkat Tuhan Yesus sebagai tunjang yang memberikan kesejahteraan dan keseimbangan dalam kehidupan kita.

Selain itu, ia juga diadakan untuk menzahirkan rasa syukur kepada Tuhan atas segala keberkatan, keharmonian dan rezeki yang diperoleh dalam keluarga.

JAMU SELERA… Setelah selesai aktiviti, peserta bergambar kenangan bersama keluarga yang didoakan. (Gambar: Jessica Ruja)

Setelah itu, aktiviti sampingan juga diadakan sempena Perayaan Gawai Dayak iaitu golongan belia telah dijemput ke perjamuan persaudaraan serta aktiviti rumah terbuka yang diadakan oleh keluarga terbabit. Program seperti ini diharapkan dapat memupuk kehidupan dalam komuniti kita di mana setiap keluarga menerima dan menerapkan teladan dan ajaran Kristus dengan baik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.