Anda dialu-alukan!


Pada Khamis Suci yang lalu, saya meraikan upacara membasuh kali di Pusat Latihan Belia Montfort di Sabah. Kira-kira 150 pemuda berlatih di sana dan mereka menyanyikan Lagu-lagu Minggu Suci dengan sepenuh hati dan nyanyian mereka membawa ingatan kepada satu upacara membasuh kaki yang sangat berlainan bertahun-tahun lalu – yang berlaku bukan dalam gereja tetapi di pintu masuk sebuah rumah panjang. 

Ketika saya pertama kali tiba di Sarawak pada zaman 1970an, jalan raya sangat sedikit dan kebanyakan perjalanan kami dilakukan dengan menaiki bot atau berjalan kaki, dan dalam satu perjalanan sedemikian, saya melawat sebuah rumah panjang di hulu sungai dalam kawasan Balingian.

Ia merupakan lawatan pertama saya ke rumah itu dan untuk sampai ke sana, kami perlu menaiki bot kebanyakan waktu, tetapi kemudian kami perlu berjalan menerusi hutan tebal selama kira-kira sejam.

Apabila kami tiba, saya tidak sabar lagi mahu melihat tempat di mana saya dapat berehat, tetapi apabila saya sampai di pintu dan bersiap sedia untuk masuk, seseorang berkata, “Tunggu dahulu, Father, tunggu sebentar.”

Saya pun duduk di atas sebatang kayu di tepi pintu dan tidak lama kemudian, tuai rumah muncul dengan semangkuk air dan berlutut di hadapan saya untuk membasuh kaki saya, kerana dalam keletihan akibat perjalanan, saya tidak sedar bahawa kaki saya berlumuran lumpur.

Ia tidak memakan masa yang lama dan kemudian lelaki itu mendongak dan melihat mata saya, memberi senyuman yang bermakna dan berkata, “Anda dialu-alukan, Father”, dan saya rasa sangat dialu-alukan terutamanya apabila dia mengambil tangan saya dan membimbing saya ke tempat duduk di rumah panjang itu. 

Ketika saya merenungkan memori itu, saya menyedari bahawa ia boleh dianggap sebagai satu perumpamaan, yang kecil, bagi penebusan kita – saya mencari tempat di mana saya dapat rasa selesa dan tiba di tempat sedemikian, tetapi sebelum saya dapat masuk, tuan rumah perlu membasuh kekotoran dari kaki saya, supaya saya dapat masuk dengan bermaruah. 

Namun kemudian saya ditarik lebih jauh ke dalam memori itu dan saya menyedari bahawa khazanah sebenar dalam cerita itu adalah senyuman alu-aluan – kerana tanpa senyuman itu, pembasuhan kaki itu tidak akan menjadi satu perumpamaan.

Jika lelaki itu datang dengan semangkuk air tetapi tanpa senyuman dan mungkin juga merungut mengenai orang yang tidak tahu bahawa dia tidak boleh masuk rumah dengan kaki kotor, maka tindakannya adalah satu teguran, bukan satu alu-aluan.

Salah satu kebenaran paling mendalam dalam Kepercayaan kita adalah ungkapan “Ubi caritas…”“di mana ada persahabatan dan kasih, di situlah Allah”.

Tindakan yang membawa kita ke dalam persahabatan dengan orang lain dan juga dengan Allah adalah satu “tindakan yang baik”, tetapi tindakan yang dibuat tanpa kebaikan hati – tanpa senyuman – mungkin satu “tindakan yang soleh” tetapi jika ia tidak membawa kita ke dalam persahabatan, ia bukan datang dari Allah.

Ada orang yang takut sedikit dengan perkara ini, kerana ia seakan-akan membayangkan bahawa saya menyatakan hanya kebaikan hati sahaja yang penting manakala peraturan dan undang-undang boleh diketepikan – tetapi itu bukan apa yang saya maksudkan. 

Undang-undang dan peraturan menunjukkan kepada kita jalan ke dalam persahabatan dan kasih – tetapi mereka perlu menunjuk lebih jauh daripada diri mereka sendiri untuk berbuat demikian dan oleh yang demikian, kita dapat mematuhi semua peraturan tetapi tetap tidak dapat mencari jalan ke dalam persahabatan – saksikan golongan Farisi dalam begitu banyak kisah Injil.  

Bagaimanapun, jika saya melihat seseorang dengan persahabatan dan kebaikan hati, saya tidak mungkin akan membunuhnya, mencuri daripadanya, menipunya atau berbohong mengenainya. Maka itu kebaikan hati menjadi jaminan bahawa apa yang saya buat adalah dari Allah.

Kita kadang-kadang terlepas pandang bahawa tugasan kita sebagai utusan Injil ada dua bahagian – bahagian “apa” dan juga bahagian “bagaimana”, seperti apa yang ditunjukkan oleh memori saya mengenai tuai rumah yang membasuh kaki saya –  “apa” adalah pembasuhan kaki saya; “bagaimana” adalah senyuman yang mengubah tindakan itu menjadi ekspresi persahabatan dan alu-aluan.

Saya percaya Kristus mengajar kita tentang perbezaan ini dalam Yohanes 14, apabila Thomas berkata mereka tidak tahu jalan ke tempat yang dituju Yesus, Dia menjawab, “Akulah jalan, kebenaran dan kehidupan”.

“Apa” yang kita buat dalam usaha kita untuk setia kepada Kristus bergantung kepada masa dan keadaan, tetapi “bagaimana” mestilah sentiasa “jalan” (cara) penyayang, lemah lembut dan memahami seperti Kristus melayan setiap daripada kita.

Jika kita tidak bercakap dan bertindak dengan lemah lembut dan kasih, kata-kata dan tindakan kita tidak dapat menjadi kata-kata dan tindakan Kristus – kerana Dia tidak dapat memasukinya; Dia tidak dapat hidup dalam kita menerusi mereka!

Semua tindakan dan kata-kata kita sebagai anggota Gereja Kristus menerima kuasa alu-aluan mereka menerusi raut wajah yang kita tunjukkan kepada orang ketika kita bercakap dengan mereka, menyapa mereka, memberi komuni kepada mereka, kerana menerusi senyuman dan persahabatan kita, kita membolehkan mereka untuk mengenali Kristus yang berdiri di hadapan mereka.

Kerja penyelamatan dalam Gereja sesungguhnya kerja Kristus dan Dia sahaja, tetapi cara (jalan) kita berkongsi dalam kerjanya, kebaikan hati dan persahabatan yang kita tunjukkan ketika kita menyapam orang dan bercakap tentang Firman kepada mereka, membolehkan mereka untuk menerima apa yang Dia ingin berikan kepada mereka dengan cara yang jauh lebih berhasil. 

Dalam erti kata lain, senyuman dapat mengubah amalan upacara menjadi pengalaman persahabatan dan kasih yang indah seperti apa yang saya pelajari, ketika kaki saya dibasuh di pintu ke rumah panjang berkenaan bertahun-tahun yang lalu.

Father Terry Burke


Today’s Catholic Vol.29 No.3 June 2017


The article in English: You are welcome!

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.