Misa Hari Minggu mula dirayakan dalam Bahasa Malaysia di Gereja Holy Trinity, Kenyalang Park

LEMBARAN BAHARU… Sebahagian daripada kongregasi bersama Uskup Agung Simon Poh dan Fr Eugenio Maglasang selepas Misa BM pada 16 April 2023. (Gambar: HTC)

Oleh Amy Olivia Dass

KUCHING  Tanggal 16 April 2023 merupakan Hari Minggu yang sangat istimewa bagi Gereja Holy Trinity (HTC) di Kenyalang Park, Kuching.

Pada Misa Hari Minggu Kerahiman Ilahi, Uskup Agung Simon Poh memimpin Misa Kudus dalam Bahasa Malaysia (BM) buat julung kalinya dalam sejarah HTC. Ia dirayakan bersama Rektor HTC, Fr Eugenio Gocela Maglasang, SDB.

Kira-kira 100 anggota paroki menghadiri Misa bersejarah tersebut, termasuk Ahli-Ahli Majlis Pastoral Paroki HTC yang datang untuk menunjukkan sokongan mereka. Misa itu berakhir dengan Pemberkatan Kanak-kanak dan semua anggota paroki diundang menyertai jamuan persaudaraan tengah hari di Dewan Good Shepherd

Selain itu, jamuan tersebut juga bertujuan untuk menyambut hari jadi ke-60 Uskup Agung Simon yang menerima sebuah kek.

Misa BM di HTC merupakan idea Uskup Agung Simon. Ketika beliau melihat para penari muda dari Blok Rosari Kampung Tabuan Dayak mempersembahkan tarian tradisional aneka budaya pada Jubli Emas Ke-50 HTC di Lok Thian Grand Riverine Ballroom pada November 2022, beliau meminta Fr Joseph Liew, yang menjadi Rektor HTC ketika itu, untuk menimbang mengadakan Misa dalam BM.

Ini adalah untuk menampung komuniti Tabuan Dayak dan komuniti Dayak lain serta kaum lain, baik komuniti berbahasa Bidayuh, Iban, Cina, India atau BM, yang tinggal berhampiran gereja tersebut.

Objektif Misa BM itu adalah untuk menyatukan semua umat Allah dan “menghormati serta memuji-Nya”.

Fr Eugenio, yang menjadi Rektor HTC sekarang, diberi tugasan untuk menguruskan dan menyediakan Misa BM bagi komuniti berbahasa BM. Beliau terlibat secara aktif dalam mesyuarat yang diadakan oleh Jawatankuasa Blok Rosari Kampung Tabuan Dayak untuk membincangkan Misa BM.

Dalam ucapannya, Amy Olivia Dass selaku Pengerusi Blok Rosari Kampung Tabuan Dayak mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam ministri gereja di atas masa dan komitmen mereka untuk menjayakan Misa BM di HTC.

Misa Kudus dalam BM di HTC diadakan setiap Ahad pada jam 11.00 pagi. Semua dialu-alukan.

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Holy Trinity Church, Kenyalang Park starts Sunday Mass in Bahasa Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.