Niat doa Paus bagi bulan April: ‘Untuk budaya tiada keganasan’

KOTA VATIKAN — Pada waktu Gereja meraikan 60 tahun sejak Pope St John XXIII menerbitkan ensikliknya Pacem in Terris, Pope Francis menyeru kepada umat Kristian untuk berdoa bagi budaya tiada keganasan. 

Paus mengeluarkan sebuah video untuk mengiringi niat doanya bagi bulan April 2023, yang diterbitkan oleh The Pope’s Worldwide Prayer Network.

Beliau berkata “peperangan adalah kegilaan” yang “melampaui akal”.

“Sebarang peperangan, sebarang konfrontasi bersenjata, sentiasa berakhir dengan kekalahan bagi semua,” katanya.

Budaya tiada keganasan

Pope Francis membandingkan mentaliti suka konflik dengan mentaliti berasaskan tiada keganasan. 

“Hidup, bercakap dan bertindak tanpa keganasan bukan bermaksud menyerah apa-apa, kehilangan apa-apa atau meninggalkan apa-apa, tetapi mengharapkan segalanya,” katanya.

Semua orang, tambah Paus, dipanggil untuk “memajukan budaya keamanan”.

Pendekatan tiada keganasan, katanya, boleh menjadi panduan bagi tindakan kita, “baik dalam kehidupan seharian mahupun dalam hubungan antarabangsa”.

“Marilah kita ingat, termasuk dalam kes mempertahankan diri, bahawa keamanan adalah matlamat mutlak, dan keamanan yang berkekalan boleh wujud hanya tanpa senjata,” katanya.

Pope Francis menamatkan video niatnya dengan inti pati rayuan doanya.

“Dan marilah kita berdoa untuk budaya tiada keganasan yang lebih meluas,” katanya, “yang akan maju apabila negara dan warga negara semakin kurang menggunakan senjata”.

Keamanan dalam hati kita

Satu kenyataan media yang mengiringi video itu mengingati ramai orang yang telah memperjuangkan keamanan dan pendekatan tiada keganasan, termasuk Mahatma Gandhi, Martin Luther King Jr dan St Teresa Calcutta.

Selain menunjukkan Pope Francis bercakap, video itu turut memaparkan kemusnahan yang berlaku dalam beberapa peperangan yang kini merosakkan dunia, selain potret hitam putih beberapa pendokong keamanan.

Dalam Pacem in Terris, John XXIII meratapi kesan keganasan yang amat negatif dan “tidak menyemai benih lain kecuali benih-benih kebencian dan keganasan”.

Pengarah Antarabangsa bagi The Pope’s Worldwide Prayer Network, Fr Frédéric Fornos SJ berkata keamanan dalam kalangan bangsa-bangsa bermula “dalam bahagian hati kita yang paling konkrit dan intim”, sama seperti peperangan dan konflik yang ada puncanya di sana.

“Injil menunjukkan kepada kita bahawa kehidupan Yesus mewahyukan jalan kedamaian yang sebenar dan mengundang kita untuk mengikut-Nya,” kata Fr Fornos.

“Dalam semangat ini, kita dipanggil untuk ‘melucutkan senjata’, yang bermaksud ‘melucutkan’ kata-kata kita, tindakan kita, kebencian kita.”

Vatican News (Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Pope’s April prayer intention: ‘For a nonviolent culture’

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.