Belia bersatu dalam kasih Kristus

Belia Paroki Our Lady Queen of Peace, Sri Aman bersama Fr Henry. (Foto: Adrian Anggang)

Oleh Jessica Ruja Anak Raphael

SRI AMAN Ministri Belia Paroki (PYM) Sri Aman telah menganjurkan program pemukiman atau retreat belia di Gereja Our Lady Queen of Peace (OLQP) di sini dengan tema ‘Bersatu Dalam Kasih Kristus’ (1 Korintus 13:13). 

Pemukiman belia tersebut berlangsung selama dua hari dari 27–28 Januari 2023 dan disertai seramai 26 orang belia dari sekitar kawasan Paroki Sri Aman yang terdiri daripada zon-zon Sri Aman, Lubok Antu, Engkilili, Skrang, Betong dan Saratok. 

Program ini diadakan untuk memberi peluang kepada peserta meluangkan masa berkualiti dalam lingkungan keberadaan bersama, dan menghargai bahawa setiap kehadiran peserta adalah untuk saling melengkapi satu sama lain. 

Ia juga bertujuan untuk membangkitkan semangat semua peserta dalam mencari makna, kekuatan dan sukacita dalam pelayanan belia. 

Ketua Belia PYM Sri Aman, Antonious Remon memulakan program tersebut tepat jam 4.00 petang dengan doa pembukaan, sesi berkenalan, dan pengenalan ringkas mengenai perjalanan program yang akan dijalankan selama dua hari.

Belia Paroki Sri Aman meluangkan masa bersama dengan aktiviti permainan santai. (Foto: Adrian Anggang)

Program itu turut menyelit beberapa aktiviti permainan santai untuk menceriakan suasana di samping mewujudkan keakraban antara belia Paroki OLQP Sri Aman. 

Fr Henry memberikan nasihat dan dorongan kepada belia dalam menangani cabaran pelayanan di gereja. (Foto: Fabian Dickson)
Semua belia mengadakan doa rosari kepada Bonda Maria untuk memuji dan mendoakan kebahagiaan kita semua. (Foto: Fabian Dickson)

Aktiviti diteruskan pada jam 6.30 petang hingga jam 11.00 malam dengan Misa Harian yang dirayakan oleh Fr Henry Jimbey, doa rosari yang dipimpin oleh Elizabeth Lynn, sesi sing-along yang diiringi kumpulan belia dari pelbagai zon dalam paroki Sri Aman, dan seterusnya sesi perbincangan mengikut kumpulan masing-masing. 

Perbincangan berkumpulan (Foto: Adrian Anggang)

Dalam sesi perbincangan, peserta diajak membuat renungan tentang pengalaman, pelibatan diri, permasalahan, kekuatan dan kelemahan dalam PYM Sri Aman. 

Fr Henry turut memberikan dorongan, teguran dan nasihat bagi membantu peserta menangani pelbagai cabaran dalam pelayanan dan mengukuhkan iman serta menyedari bahawa kekurangan diri adalah pemangkin kepada keinginan untuk terus mendekatkan diri dengan pelayanan. 

Program diteruskan pada keesokan hari dengan aktiviti-aktiviti seperti sing-along, sesi perbincangan berkumpulan, mesyuarat semua peserta, dan sesi bergambar bersama semua peserta dan Fr Henry. 

Rata-rata belia yang hadir menyatakan rasa syukur kerana dapat menyertai program ini dan berharap agar ia dapat diteruskan pada masa akan datang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.