Oleh Seminarian Gabriel Puvan
KUCHING — Ia ternyata malam yang penuh berkat bagi komuniti Kolej St Peter, Seminari Utama Kuching, di mana perayaan berganda berlangsung di chapel seminari, dalam Ekaristi yang dirayakan oleh Uskup Agung Simon Poh, Fr Patrick Heng, selaku rektor seminari yang baharu dilantik, dan formator lain di seminari tersebut.
Perasmian tahun akademik baharu dan pertabalan rektor baharu seminari itu diadakan serentak dalam satu perayaan pada 30 Januari lepas.
Dalam homilinya, Uskup Agung Simon menyentuh tentang peranan Roh Kudus dalam kehidupan kita dan bagaimana kita sebagai orang Kristian sentiasa dipanggil untuk mendengar suara Roh Kudus.
Ini, tambahnya, adalah untuk memastikan kesinambungan misi yang diamanahkan kepada Gereja yang perlu dijalankan hingga kedatangan kedua kali Tuhan kita.
Prelatus itu juga memberikan peringatan kepada para seminarian untuk menyedari tentang panggilan ini dalam pembentukan kepaderian mereka.
Upacara pertabalan berlangsung selepas homili. Fr Patrick mengangkat sumpahnya dan seterusnya menandatangani surat secara rasmi sebagai rektor baharu seminari.
Sebelum Misa berakhir, Fr Patrick membahagikan kata-kata nasihat yang beliau ambil daripada pengalamannya selama 28 tahun dalam ministri kepaderian yang menurutnya adalah segalanya mengenai “mencari sukacita” dalam panggilan seseorang, dan pada akhirnya menemukan Yesus, satu-satunya penyelamat kita dengan sukacita itu.
Malam itu berakhir dengan jamuan persaudaraan komuniti yang sederhana dan bermakna dengan sesi mengenali para pelajar teologi tahun pertama dan pemberkatan akhir oleh Uskup Agung.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: St Peter’s College Seminary celebrates inauguration of new Academic Year and installation of new Rector