Sambutan Jubli Emas: Malam kesyukuaran yang tidak dapat dilupakan bagi dua Uskup Agung Emeritus, Peter Chung dan John Ha

(Dari kiri) Uskup Agung Simon Poh menyertai Uskup Agung Emeritus Peter Chung dan Uskup Agung Emeritus John Ha untuk memotong Kek Jubli Emas pada 30 Disember 2022. (Foto: Danison Manium)

Oleh Ivy Chai

KUCHING — Majlis Pastoral Keuskupan Agung Kuching (APC) menganjurkan Majlis Makan Malam Jubli Emas dan Krismas di Grand Riverine Ballroom pada 30 Disember 2022 untuk menyambut Ulang Tahun Pentahbisan Keuskupan ke-50 bagi Uskup Agung Emeritus Dato Sri Peter Chung, dan Ulang Tahun Pentahbisan Kepaderian ke-50 bagi Uskup Agung Emeritus, Dato John Ha.

Disebabkan oleh pandemik, perayaan untuk meraikan ulang tahun ke-50 Uskup Agung Emeritus Peter Chung sebagai seorang uskup (15 November 2020) telah ditunda. Uskup Agung Emeritus John Ha telah ditahbiskan sebagai paderi pada 14 Disember 1972, dan beliau menyambut Ulang Tahun Emas Pentahbisan Kepaderian dengan Misa di Katedral St Joseph, Kuching, pada 14 Disember 2022.

Dewan dipenuhi hadirin dan program lagu dan tarian yang rancak mewujudkan suasana meriah dan gembira yang memancarkan sukacita dan kebahagiaan.

Dalam ucapan alu-aluan Uskup Agung Simon Poh selepas Pengerusi APC Christina Eng menyampaikan ucapannya, beliau memberi penghormatan kepada kedua-dua Uskup Agung Emeritus dan memulakan perayaan dengan mempelawa hadirin untuk sama-sama menyanyikan korus ketika beliau menyanyikan lagu yang ditulis oleh paderi Roman Katolik dari Australia, Frank Andersen, (berdasarkan Surat Paulus kepada jemaat di Filipi) “I thank my God”…

I thank my God
Each time I think of you.
And when I pray for you,
I pray with joy.

Acara memotong kek untuk menandakan Jubli Emas Uskup Agung Emeritus Peter dan Uskup Agung Emeritus John dilakukan di atas pentas dan kedua-dua mereka menerima gambar mozek diri mereka yang berbingkai, dihasilkan daripada gambar-gambar profil belia yang kecil secara digital oleh Komisi Belia Keuskupan Agung Kuching.

Penghormatan - Gambar berbingkai Uskup Agung Emeritus Peter Chung dan Uskup Agung Emeritus John Ha dihasilkan daripada gambar-gambar profil belia.

Sebagai menghargai komitmen sepanjang hayat mereka kepada umat Katolik, dua klip video pendek yang mengetengahkan perjalanan kepaderian kedua-dua Uskup Agung telah ditayangkan di majlis makan malam itu, selain satu video yang memaparkan penghormatan daripada umat tempatan.

Kedua-dua Uskup Agung seronok menonton persembahan dan dokumentari video mengenai perjalanan kepaderian mereka.

Panggilan menakjubkan dan berkat besar Allah

Dalam ucapannya kepada hadirin, Uskup Agung Emeritus Peter memulakannya dengan kata-kata yang disebut oleh Bonda Perawan Maria: “Jiwaku memuliakan Tuhan dan rohku bersukacita dalam Allah, Penyelamatku.”

“Panggilan saya kepada kepaderian dan kepada jawatan Uskup adalah satu panggilan menakjubkan dan berkat besar Allah yang mendorong saya untuk datang dari bumi ribuan batu jauhnya ke bumi Borneo dan melayan umat disayangi Allah—bumi yang saya tidak pernah dengar, dan bangsa yang saya tidak pernah kenali sebelum saya datang,” katanya.

Uskup Agung Emeritus Peter tiba di Kuching sebagai seorang diakon pada 21 Ogos 1954 dan ditahbis sebagai paderi oleh Uskup John Vos pada 26 September. Beliau segera diutuskan untuk melayan di pelbagai bahagian di Sarawak dan Brunei. Beliau pergi dari Brunei ke Sabah pada 1970 untuk menggantikan Uskup Busi dan tinggal di sana selama lima tahun.

Beliau dilantik untuk menjadi Vikar Apostolik Kuching dan kemudian Uskup Agung Kuching pada pertengahan Mac 1975. Beliau melayan Keuskupan Agung hingga beliau bersara pada 22 Jun 2003.

Uskup Agung Peter mengaku “ministri serta kehidupan kepaderian dan keuskupan” beliau tidak mudah, dihambat oleh ketidakfasihan dalam bahasa-bahasa tempatan. Walau bagaimanapun, beliau memberi “kesyukuran kepada rahmat dan bantuan Allah, saya memberikan apa yang saya miliki dan melakukan apa yang saya dapat untuk anda, umat disayangi Allah. Sesungguhnya, Allah telah memberkati dan menggunakan saya. Saya bersyukur kepada Allah dengan segenap hati dan jiwa saya.”

Uskup Agung Peter menyampaikan ucapan terima kasih yang ikhlas kepada Uskup Agung Simon dan Uskup Agung John, pada paderi dan golongan religius serta umat “kerana menyambut dan menerima saya untuk bersama anda, kerana kasih anda, bimbingan dan sokongan anda, kerjasama dan bantuan yang anda berikan kepada saya bagi ministri dan kehidupan kepaderian dan keuskupan saya. Atas semua ini, saya dengan bersyukur mengucapkan terima kasih dan memuji Allah”.

Selepas memulakan ucapannya dengan kata-kata Bonda Maria, beliau menutup ucapannya dengan kata-kata bonda juga: “Sesungguhnya Allah Maha Besar telah melakykan keajaiban bagiku, kuduslah Nama-Nya”.

50 tahun pelayanan dan kehidupan kepaderian—segalanya rahmat Allah

Uskup Agung Emeritus mengucapkan terima kasih kepada Uskup Agung Simon dan APC kerana menganjurkan sambutan untuknya dan Uskup Agung Emeritus Peter. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Uskup Agung Emeritus Peter dengan doa agar beliau “hidup hingga usia 100 tahun dan malah lebih lagi”.

Beliau menceritakan bahawa ketiga-tiga uskup agung ada “satu perkara yang sama”, semua mereka memiliki nama “Peter”. Beliau memberitahu bahawa nama penguatannya adalah Peter.

Dengan mengetepikan norma ucapan yang sudah disedia awal, Uskup Agung John memutuskan untuk menjelaskan sentimennya menerusi tiga buah lagu. Beliau tidak pernah berjalan bersendirian selama 50 tahun dalam ministri dan pelayanan kepaderiannya, dan beliau mengaitkan ini dengan rahmat Allah (video – You never walk alone).

“Anda telah berdoa untuk saya, menyokong saya dan menjadi alat Allah bagi saya,” katanya. “Yesus adalah rakan kita yang kita dapat panggil dengan yakin ‘Sahabatku selama-lamanya’”, dan beliau menyokong pengesahan ini dengan satu klip video.

Dalam video ketiga Uskup Agung John yang menunjukkan “kepercayaan dan harapan kita kepada Yesus”, beliau juga meminta hadirin untuk sama-sama menyanyikan lirik lagu ‘In Christ Alone’.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan doa pemberkatan bagi semua orang dan memberitahu himpunan homili, yang beliau telah terbitkan dalam sebuah buku, akan diberikan sebagai hadiah kepada hadirin.

Tarikh 30 Disember 2022 bukan sahaja akan terpahat buat selama-lamanya di dalam hati dan minda kita sebagai satu sambutan kesyukuran hujung tahun Keuskupan Agung, tetapi juga sebagai malam apabila Uskup-Uskup Agung di Keuskupan Agung Kuching, didorong oleh rasa kasih sayang dan sokongan yang diberikan kepada mereka, menggalakkan hadirin untuk sama-sama bernyanyi dan memberi pujian kepada Tuhan, dan kedua-dua Uskup Agung Emeritus menghadiahkan buku-buku yang mereka tulis kepada setiap keluarga. 

Galeri gambar Foto oleh todaycat Shannon Wei/Danison Manium

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Golden Jubilee Celebration: Memorable night of thanksgiving for Archbishops Emeriti Peter Chung and John Ha

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.