Dalam persekutuan ini, semua kita adalah Orang-Orang Kudus, kerana merit Kristus.
Seperti apa yang orang kata, tidak ada temasya yang sama seperti temasya Katolik, dan pada Hari Perayaan Semua Orang Kudus, parti itu ada senarai tetamu yang melarutkan had masa dan ruang.
Ia adalah hari perayaan kita, setiap daripada kita, baik hidup mahupun sudah mati. Walaupun orang-orang kudus atau santo-santa di Syurga—Gereja Menang, seperti apa yang disenaraikan pada jemputan rasmi—menduduki tempat teratas dan duduk di meja utama pada hari ini, anda dan saya akan menemukan nama-nama kita pada senarai di pintu.
Kita, iaitu Gereja Militan untuk memberikan nama yang elok kepada diri kita, adalah antara orang-orang kudus tidak terkenal yang tidak terkira jumlahnya. Tidak ada orang yang akan menghalau kita daripada temasya ini. Kita memang wajar berada di sini.
Sudah tentulah itu bukan kerana apa yang kita buat. Jemputan kita ke temasya yang dikenali sebagai Persekutuan Para Kudus itu telah dibayar dengan darah. Kita, Gereja Katolik Yang Kudus, sebenarnya bukan komuni atau kesatuan individu-individu yang kudus (dalam cara kad kudus, kita memikirkan tentang santo-santa) tetapi lebih umpama komuniti yang diresapi kekudusan, berkongsi secara sama rata, dan sama sekali tidak patut, kebaikan penyelamatan yang dimenangi Kristus Yesus bagi kita. Seperti apa yang disebut oleh Katekisme Gereja Katolik:
“Memandangkan semua umat membentuk satu tubuh, kebaikan masing-masing disampaikan kepada yang lain… Maka itu kita mesti percaya komuni (kesatuan) kebaikan wujud dalam Gereja. Namun anggota paling penting adalah Kristus, kerana Dia adalah kepala… Maka itu, kekayaan Kristus disampaikan kepada semua anggota, menerusi sakramen-sakramen.” “Memandangkan Gereja ini diperintah oleh Roh yang satu dan sama, semua kebaikan yang ia terima semestinya menjadi dana umum” (CCC #947).
Kita tidak, dan tidak dapat, menguduskan diri kita sendiri, menjadikan diri kita santo-santa. Kita boleh bekerja sama (dan santo-santa di Syurga telah bekerja sama) dengan anugerah rahmat yang menguduskan dan menjadi milik kita menerusi pembaptisan. Kita boleh bersikap militan (dan santo-santa di Syurga juga pernah bersikap militan) tentang menolak segalanya yang menghalang kita daripada melakukan kehendak Tuhan. Kita boleh mengikut Yesus (dan santo-santa di Syurga juga telah mengikut-Nya) sebagai murid-murid dan penziarah dalam perjalanan harian ini ke tanah air yang telah dijanjikan kepada kita, parti yang tiada kesudahannya.
Terdapat beberapa tetamu lain yang bersukaria (ya, bersukaria!) bersama kita pada hari ini, walauun hari besar mereka datang esok pada Hari Peringatan Para Arwah. Gereja Menderita (The Church Suffering)—jiwa-jiwa dalam api penyucian—adalah orang-orang kudus juga. Merit rahmat tidak dinafikan kepada mereka, dan mereka membara dengan kasih dan sukacita untuk meninggalkan kesan-kesan daripada segalanya yang tidak begitu penyayang. Itu juga adalah satu temasya Katolik. Mereka juga akan duduk di meja utama pada suatu hari nanti.
Untuk mengatakan bahawa semua kita adalah orang-orang kudus pada Hari Perayaan Semua Orang Kudus ini bukan bermakna kita mengamalkan dosa memandai-mandai yang malas. Sebaliknya, ia adalah untuk membuat sesuatu yang sangat sukar: untuk menunggu dengan harapan yang penuh sukacita. Untuk hidup seakan-akan kita tahu penamatnya, kerana kita memang tahu. Ia bukanlah penamat kita yang kita tunggu, tetapi kesatuan dunia dalam api kasih Kristus yang menyelamatkan kita.
Sementara itu, apakah yang kita buat di temasya Katolik ini? Kita berdoa dan kita didoakan. Doa merupakan piala keberkatan yang kita edar dari meja ke meja. Santo-santa di Syurga berdoa bagi kita dan bagi jiwa-jiwa di api penyucian. Kita berdoa untuk perantaraan santo-santa di Syurga, untuk menerangi jalan kita di Bumi, untuk membantu satu sama lain, dan membebaskan jiwa-jiwa yang menderita di api penyucian. Gereja Menderita tidak berdaya untuk berdoa—tetapi api kasih mereka yang menyucikan dinyalakan oleh doa kita, dan mereka tidak akan melupakan kita.
Setiap tahun pada hari perayaan ini, saya memikirkan tentang gambar rajah di dalam Katekisme Baltimore lama di mana saya belajar tentang Persekutuan Para Kudus. Terdapat santo-santa di Syurga, figura-figura yang ada ‘halo’ dalam awan yang melepaskan anak panah rahmat, dengan label ‘tidak memerlukan bantuan, tetapi dapat membantu’. Jiwa-jiwa di api penyucian, yang dikelilingi api, dengan label ‘tidak berdaya’, tetapi dengan tubin anak panah yang menandakan doa yang diajukan ke arah mereka. Kita, Gereja di Bumi, berdiri di atas bundaran peta bumi seperti dalam pengasingan, namun disambung oleh anak panah doa dengan satu sama lain dan dengan mereka di Syurga dan dalam api penyucian. Kita dilabel ‘memerlukan bantuan’, dan dapat membantu. Satu keistimewaan yang amat tinggi!
Menang—bersukacita bukan kerana kemenangan mereka sendiri, tetapi dalam kemenangan Kristus. Menderita—bertahan (secara harfiah, kerana itulah maksud penderitaan) dalam persiapan penyucian terakhir. Dan militan—yang menjalankan tugasan aktif, di sini dan sekarang. Saya percaya kepada… Gereja Katolik Yang Kudus, Persekutuan Para Kudus. Santo Saya, Santa Anda, Santo-Santa Semua Kita, menyambut hari perayaan kita pada hari ini.
Tidak ada temasya seperti temasya Katolik—kerana temasya Katolik tidak pernah berakhir!
Aleteia (Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Why you’re part of the Communion of Saints even before you reach Heaven