Keuskupan Agung Kuching menyambut pentahbisan kepaderian berganda pertamanya dalam tempoh 27 tahun

Paderi-paderi yang baharu ditahbis, Fr Henry Jimbey (kiri) dan Fr Davie Entalai (kanak), 10 Oktober 2022, Katedral St Joseph Kuching. (Foto: Danison Manium)

“Ini aku, hamba Tuhan” - Lukas 1:38

Oleh Shannon Wei

KUCHING — Ia ternyata satu perayaan berganda yang penuh sukacita pada 10 Oktober 2022 apabila Keuskupan Agung Kuching menyambut dua paderi baharu ke dalam presbiterium – Fr Henry Jimbey dan Fr Davie Entalai.

Fr Henry, 49, dilahirkan di Bau, Sarawak, kepada Stephen Jimbey anak Nyaim dan Monica Nona anak Jacob. Sebelum beliau menyertai seminari, beliau merupakan seorang guru sekolah menengah.

Fr Davie, yang berasal dari Simanggang, dilahirkan kepada Edwin Entalai anak Chuwat dan Catherine Enta anak Lanjat. Beliau berusia 38 tahun pada Mac 2022, dan merupakan seorang inspektor kesihatan sebelum beliau menjawab panggilan kepada kepaderian.

Pentahbisan kepaderian mereka, yang dirayakan di Katedral St Joseph, dihadiri anggota paroki yang teruja, saudara-mara, seminarian dan golongan religius.

Saksi-saksi datang dari jauh seperti Sri Aman dan Lundu, di mana paderi-paderi yang baharu ditahbis itu pernah berkhidmat ketika mereka menjadi diakon-diakon, selain Kota Kinabalu di mana mereka melengkapkan Tahun Inisiasi mereka di seminari.

Mereka yang tidak dapat hadir secara fizikal berkongsi sukacita mereka menerusi saluran-saluran YouTube Keuskupan Agung dan Facebook, yang memaparkan temu ramah eksklusif bersama mereka oleh Suruhanjaya Belia Keuskupan Agung Kuching.

Perayaan bermula dengan perarakan di mana presbiterium bergerak ke arah katedral dari Pusat Paroki lama, diiringi bunyi gendang dan paluan gong.

Ini diikuti persembahan tarian tradisional sebelum Misa, yang dirayakan oleh Uskup Agung Simon Poh.

Uskup Agung Simon: “Terus melaksanakan tugas-Nya sebagai Guru, Paderi dan Gembala” 

Selepas bacaan Injil, Uskup Agung Simon mengetuai Upacara Pentahbisan di hadapan mezbah.

Upacara Pentahbisan - Pemilihan Calon-Calon

Kedua-dua calon terpilih menjawab dengan rasa hormat, dan selepas itu, mereka disambut dengan tepukan daripada kongregasi.

Dalam homili beliau, Uskup Agung mengingatkan umat Tuhan tentang pelayanan paderi-paderi yang baharu ditahbiskan – “untuk melayan Kristus, dan menerusi pelayanannya, Gereja dibina dan berkembang menjadi umat Allah”.

“Kerana Dia Sendiri mengutuskan Para Rasul-Nya ke dalam dunia, supaya menerusi mereka dan para pengganti mereka, iaitu Uskup-uskup, Dia dapat terus melaksanakan tugas-Nya sebagai Guru, Paderi dan Gembala.”

Kepada calon-calon, beliau mengingatkan mereka untuk membiarkan apa yang mereka Ajar menjadi santapan bagi umat Allah, untuk menjalankan tugas Kepaderian mereka dengan sukacita yang konsisten dan kasih yang tulen, dan untuk sentiasa melihat kepada contoh Gembala Baik.

Calon-calon terpilih kemudian membuat janji-janji mereka di hadapan Tuhan dan umat-Nya, dan selepas itu mereka meniarap bagi Litani Rayuan, yang dinyanyikan oleh seluruh Gereja.

Satu demi satu, Uskup Agung menopang kedua-dua tangan ke atas calon-calon terpilih, sambil menyebut Doa Pentahbisan. Beliau mengurapi tangan paderi-paderi yang baharu ditahbis dengan minyak Krisma Suci, sementara mereka berlutut di hadapannya.

Rektor Gereja St Stephen Bau, Fr Peter Liston, membantu Fr Henry untuk memakai stola dan jubah paderi. Pada waktu yang sama, rektor Gereja Our Lady Queen of Peace Sri Aman, Fr Jerome Juleng, membantu Fr Davie.

Ibu bapa paderi-paderi yang baharu ditahbis kemudian mempersembahkan pemberian roti dan wain kepada Uskup Agung.

Uskup Agung kemudian meletakkan patena dan piala ke dalam tangan paderi-paderi baharu yang berlutut di hadapannya. Kemudian beliau memberikan ciuman persaudaraan kepada mereka sambil memberikan kedamaian.

Di Misa yang dipimpin oleh Uskup Agung Simon, Fr Henry dan Fr Davie sama-sama merayakan Ekaristi Kudus pertama mereka bersama Uskup Agung Emeritus John Ha, Msgr William Sabang, dan paderi-paderi lain dari Keuskupan Agung Kuching dan Kota Kinabalu.

Pentahbisan Berganda Yang “Jarang Sekali Berlaku” dalam Keuskupan Agung Kuching

Dalam ucapan penutupannya, Uskup Agung Simon berkongsi: “Hari ini sesungguhnya satu perayaan berganda, kebahagiaan dan sukacita berganda bagi Kolej St Peter dan Keuskupan Agung.”

Beliau menambah “ia sesungguhnya jarang sekali berlaku bagi Keuskupan Agung kita untuk mengadakan dua pentahbisan serentak”.

Keuskupan Agung merayakan pentahbisan berganda terakhirnya pada 1995, ketika Fr Patrick Heng dan Fr Richard Ng (sekarang Uskup Miri) ditahbis bersama.

Sambil menyuarakan kesyukurannya, Uskup Agung Simon menyampaikan pemberian kepada ibu bapa Fr Henry dan Fr Davie, kerana memberikan anak-anak mereka untuk menjadi pekerja buruh di kebun anggur-Nya.

Beliau turut menghadiahkan senaskhah buku ‘Ave Maria’ tulisan Pope Francis dan satu set kunci kereta masing-masing kepada kedua-dua paderi selepas mereka menandatangani Sijil-Sijil Pentahbisan.

Fr Davie: “Segala Kesyukuran dan Pujian kepada Allah!”

Dalam ucapan penutupannya, Fr Davie memberitahu beliau rasa terharu, “kerana hingga ke detik ini, Allah masih murah hati dan memenuhi keperluan”, pada waktu beliau beralih kepada kehidupan yang diceburinya. 

“Segala kesyukuran dan pujian kepada Allah, yang mencurahkan kasih dan rahmat-Nya kepada kita pada hari ini!”

Walaupun beliau rasa gelisah mengenai masa depan, beliau mengalu-alukan peluang untuk bekerja di Ladang Anggur Allah, bukan bersendirian tetapi bersama Gereja, dan beliau meminta didoakan.

Pada waktu yang sama, beliau mengambil kesempatan itu untuk menggalakkan kepekaan dan kesedaran tentang panggilan. 

“Panggilan adalah satu kurnia daripada Allah dan saya telah menerima kurnia ini daripada-Nya.

“Saya ingin mengongsikannya bersama semua orang dan saya juga berharap ibu bapa dan orang muda dapat menimbang kehidupan religius sebagai satu cara hidup. Pertimbangkanlah dan bawa ini ke dalam kepekaan hati anda.”

Fr Henry: “Hari yang kita tidak akan pernah lupakan”

“Saya benar-benar penuh dengan kebahagiaan, sukacita dan ketakjuban,” kata Fr Henry dalam ucapan penutupannya.

Beliau begitu terharu dengan kasih dan sokongan ikhlas yang dipamerkan, dan melihat wajah-wajah yang dikenalinya dan telah datang dari seluruh keuskupan agung dan dari luar keuskupan.

Rasa takjub, jelasnya, adalah kepada rahmat dan kasih Allah, serta panggilan Allah kepadanya untuk menyertai kehidupan kepaderian. Beliau turut menyuarakan rasa takjub kepada Bonda Perawan Maria, yang sentiasa menguatkannya dan memberi kasih yang semakin mendalam untuk melayan Kristus, menerusi kebaktian rosari.

“Saya dapat merasakan kehadiran bonda yang mengiringi saya di sepanjang perjalanan saya, hingga ke hari ini. Itulah sebabnya kenapa kedua-dua kami memilih ungkapan, ‘Dari kebun anggur bonda, saya adalah hamba Tuhan’ sebagai tema bagi pentahbisan kami.”

“Ditahbis pada bulan rosari bukanlah satu kebetulan,” tambahnya.

Sama seperti Fr Davie, beliau juga memberikan nasihatnya tentang menjawab panggilan Allah, “Kepada anda, saudara-saudari saya, yang ingin menjadi paderi atau biarawati, dengarlah nasihat saya: jangan takut.

“Walaupun saya salah seorang daripada mereka, jangan takut, kerana Tuhan kita telah berjanji kepada kita, Aku di sini bersamamu.”

Dalam ucapan masing-masing, kedua-dua paderi mengucapkan terima kasih kepada keluarga masing-masing dan semua orang yang terlibat kerana menyokong mereka, dan kepada Uskup Agung dan para paderi, di atas pandangan dan kata-kata dorongan mereka di sepanjang perjalanan mereka dalam persiapan rohani bagi pentahbisan mereka.

Selepas ucapan mereka, kedua-dua paderi itu menopangkan tangan mereka di atas kepala ibu bapa masing-masing dan memberkati mereka. Mereka juga mengejutkan ibu-ibu mereka dengan sejambak bunga sebelum Misa berakhir.

Fr Henry dan Fr Davie akan terus menabur bakti dalam pelayanan masing-masing di Gereja Our Lady Queen of Peace, Sri Aman dan Gereja Roh Kudus, Lundu. 

Bersama saudara-saudara paderi di pentahbisan. Barisan depan (kiri) Msgr William Sabang, Fr Henry Jimbey, Uskup Agung Simon Poh, Uskup Agung Emeritus John Ha, Fr Davie Entalai
Fr Henry dan Fr Davie yang baharu ditahbis bersama ibu bapa mereka.

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Archdiocese of Kuching celebrates double priestly ordination after 27 years

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.