KUCHING — Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Apostolate Iban Paroki St Joseph Kuching telah diadakan pada 3 Julai 2022 di Bilik St Simon, St Joseph Kuching.
AGM kedua itu menyaksikan Daniel Bala dipilih sebagai pengerusi baharu yang akan mengetuai jawatankuasa kerja (exco) bagi penggal 2022 hingga 2025.
Sebagai pengerusi baharu, Daniel akan meneruskan misi persatuan, iaitu menyebar ajaran Kristian Katolik dalam bahasa Iban, menerapkan budaya masyarakat Iban seiring dengan ajaran dan budaya Katolik, dan mendalami ajaran Kristian Katolik dalam kalangan masyarakat Iban.
Sehubungan itu, beliau bersama ahli exco baharu yang lain telah merancang aktiviti persatuan, antaranya seminar kekeluargaan Iban, latihan koir Iban, IKD serta seminar ajaran Katolik dan adat budaya Iban.
Selain itu, lebih banyak aktiviti yang mampu menarik minat golongan belia akan diatur.
Visi dan misi persatuan juga boleh diperkembangkan melalui program lain yang dianjurkan oleh Paroki Katedral St Joseph dan gereja lain.
Daniel juga berharap agar kerasulan ini dapat dikenali sebagai persatuan yang mampu membimbing dan menjadi sumber rujukan bagi umat Katolik Iban.
Di samping Daniel, turut dipilih untuk menjadi ahli exco adalah Joe Junit selaku Timbalan Pengerusi.
Mesyuarat ini juga menyaksikan Josephine dan Barbara masing-masing dipilih menjadi Setiausaha dan Timbalan Setiausaha, manakala Simon Jack dan Michael Rimung masing-masing dipilih sebagai Bendahari dan Timbalan Bendahari.
Serah tugas kepada pengerusi baharu disaksikan oleh Penasihat Rohani, Fr Galvin Richard Ngumbang, bersama ahli exco lain.
Semenjak ditubuhkan pada tahun 2016, antara aktiviti yang berjaya dilaksanakan adalah siaran langsung Misa Krismas menerusi radio WAIfm Iban RTM Kuching, kelas IKD, program khidmat masyarakat di Kampung Selang, lawatan rombongan ke St Jude Bunan, dan mengelola sambutan Pra-Gawai Dayak bersama Persatuan Kaum Katolik Dayak (PKKD).
Apostolate Iban Paroki St Joseph Kuching