Bual bicara panggilan
Oleh Ivy Chai
Saya mesti mengaku, saya menyertai sesi dalam talian Zoom yang dianjurkan Keuskupan Agung Kuching lebih kerana sikap ingin tahu dan bukan hasrat sebenarnya untuk menulis tentang bual bicara panggilan yang diadakan pada Hari Minggu Panggilan, 8 Mei 2022.
Dialog tidak rasmi di antara golongan paderi, golongan religius dan golongan belia ternyata menarik dan memberi pencerahan. Seramai 59 peserta mengambil bahagian, termasuk penceramah, dan mereka berhubung dari seluruh Sarawak, selain dari Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.
Moderator dan pengacara bual bicara, paderi Jesuit Fr Alvin Ng dan paderi Diosis Fr Galvin Richard Ngumbang, disertai wakil-wakil dari pelbagai Golongan Religius di Keuskupan Agung Kuching.
Sr Chennisia Seting (SSFS), Fr Eugene Maglasang (SDB), Br John Emil (FMS), Br Aaron Lee (Jesuit Scholastic), Friar Aiden Jr (OFM), Sr Karen Emmanuel (Carmelite), Br Dannie Luis (Seminarian) dan Catherine Sim (OCDS) tampil dalam talian untuk menyampaikan cerita-cerita mereka, dan cabaran yang dihadapi beberapa orang daripada mereka ketika mereka menerima “panggilan” mereka kepada kaul religius pilihan mereka.
Ramai peserta ingin tahu bagaimana paderi dan religius meluangkan masa mereka dan bagaimana untuk menanggapi panggilan. Tersenarai di bawah adalah beberapa soalan yang diajukan di bual bicara itu:
- Selain merayakan Misa, apakah yang dibuat oleh paderi setiap hari?
- Apakah kelayakan yang diperlukan untuk menyertai OFM?
- Pernahkah anda terfikir untuk menarik diri di tengah-tengah panggilan anda?
- Apakah perbezaan di antara seorang rohaniwati Fransiskan dan seorang biarawati Carmelite?
- Bagaimanakah kita tahu bahawa panggilan kita kepada golongan religius adalah benar?
- Apakah perbezaan di antara seorang paderi Diosis dan seorang friar religius?
- Bagaimanakah cara untuk menanggapi golongan yang hendak disertai?
- Bagaimanakah saya tahu bahawa saya dipanggil?
- Apakah nasihat anda kepada mereka yang menimbang kehidupan sebagai seorang paderi atau religius?
Golongan paderi dan golongan religius, yang berasal daripada pelbagai latar belakang, jujur dalam respon mereka kepada pertanyaan yang diajukan dan memberi pemahaman yang menyenangkan hati mengenai perjalanan mereka menuju kepaderian dan kehidupan religius. Para paderi juga dimaklumkan mengalami hari-hari yang sukar.
Kepada pertanyaan mengenai apa yang dibuat oleh seseorang paderi setiap hari, Friar Aiden memberitahu bahawa mereka merayakan Misa, menjalankan penjagaan pastoral seperti melawat orang sakit, memberi khidmat nasihat atau kaunseling, kerja pentadbiran, mengutip dana, menjaga keperluan jemaat, menimbang cara untuk menjadikan gereja lebih relevan, dan banyak tugas pastoral lain selain membuat persiapan untuk liturgi.
Catherine, seorang anggota sekular Golongan Discalced Carmelites (OCDS), menjelaskan golongan itu “lebih menjurus kepada kehidupan berdoa, kemiskinan, kesucian, ketaatan, dan cara hidup Sabda Kebahagiaan (Beatitudes)”.
Sebagai jawapan kepada pertanyaan “bagaimanakah cara untuk menanggapi golongan yang perlu disertai?”, nasihat Fr Galvin adalah untuk menerokai semua kemungkinan. Beliau sendiri telah “membeli-belah” dan agak yakin dengan golongan Carmelite sebelum beliau akhirnya menerima nasihat Fr Simon Poh (sekarang Uskup Agung) untuk menimbang menjadi seorang paderi Diosis.
Fr Alvin menasihatkan mereka “yang menimbang kehidupan sebagai seorang paderi atau religius” untuk menyemak perasaan mereka. Soalan-soalan penting untuk ditanyakan kepada diri sendiri adalah: “Adakah saya rasa tenang dan damai? Adakah saya rasa lebih dekat dengan Tuhan?” Fr Alvin menyarankan agar mereka berjumpa dengan seorang Pembimbing Rohani.
Respon yang banyak kepada pertanyaan “bagaimanakah saya tahu saya dipanggil?” dan “bagaimanakah kita tahu panggilan kita kepada golongan religius adalah benar?” adalah saling berkaitan.
Fr Eugene percaya kita tidak dapat “terlepas” daripada panggilan. Beliau dahulu mahu belajar di sekolah kerajaan, tetapi bapa beliau sebaliknya menghantar beliau ke sebuah sekolah agama dan beliau pada hari ini adalah … seorang paderi Jesuit!
Bagi Br Dannie, ia “umpama satu visi, satu misteri, satu kehausan bagi kasih Tuhan”. Seminarian itu menggalakkan sesiapa sahaja yang merasakan mereka telah dipanggil untuk tidak rasa takut, dan menyahut sahaja panggilan itu.
Nasihat Sr Karen pula adalah untuk “cari Tuhan dahulu, bukan panggilan anda. Tuhan akan menemukan anda. Anda mendapat kedamaian, kebenaran akan membebaskan anda. Daripada mencari panggilan, abadikanlah masa kepada Tuhan”. Beliau percaya seseorang itu akan tahu juga, dan selagi seseorang itu jujur dengan diri sendiri dan dengan Tuhan, selagi seseorang itu tidak rasa takut, panggilan itu pasti datang daripada Tuhan.
Cadangan Br Emil yang menyenangkan hati adalah untuk “seronok hidup”. Br Marist itu, yang kini adalah seorang guru dan berasal daripada keluarga guru, menasihatkan mereka yang menerima panggilan untuk “bersikap terbuka kepada panggilan Tuhan. Tuhan tidak memanggil mereka yang dilengkapi. Ia memperlengkapkan mereka yang Ia panggil”.
Sr Chennisia percaya seseorang itu tidak harus takut, dan ia pasti lebih baik untuk mencubanya daripada menyesalinya kemudian.
Friar Aiden mencelah dengan berkata, “Tuhan mahu anda gembira, dan memiliki kehidupan, untuk mengasihi, melayani dan memiliki kehidupan yang berkelimpahan.” Panggilannya bermula selepas beliau merasakan ada sesuatu yang kosong dalam kehidupannya sebagai pekerja. Selepas berdoa, dan mencari-cari jawapan, beliau mengambil langkah yang mengubah kehidupan dengan drastik dan berikrar untuk melepaskan pemilikan ke atas kehidupannya sendiri dan melayan Tuhan.
Br Aaron pula merasakan kita perlu “mendayung bot” dan “berdoa dan tidak rasa takut”.
Ia ternyata memberi pemahaman untuk mendengar respon kepada cabaran yang dihadapi beberapa religius ketika mereka memilih untuk mengikut Tuhan. Kerendahan hati dan keteguhan hati mereka, untuk tunduk kepada dorongan Roh Kudus bagi mendapatkan pencerahan (discernment), menunjukkan keinginan mereka yang bersemangat untuk menjalankan kehidupan yang diabadikan untuk melayan dengan kasih.
Sr Karen, seorang warga Singapura, menghadapi tentangan yang kuat daripada keluarganya.
Bagaimanapun beliau merasakan satu kepastian daripada Tuhan. Lama-kelamaan, menerusi doa bagi pencerahannya, keluarganya menerima keputusannya.
Keinginan Sr Chennisia untuk menerima “undangan menjalani kehidupan yang kudus dan melayan Gereja-Nya” menimbulkan “konflik dengan bapa saya yang mahu saya menjadi jururawat”.
Namun dalam kematian dan menerusi doa, beliau merasakan bapanya memberikan kebenaran.
Untuk mengakhiri “bual bicara panggilan” yang rancak dan diacara dengan baik itu, Fr Eugene menggalakkan orang muda untuk bergerak aktif di paroki mereka.
Fr Galvin menjemput mereka untuk “bercakap dengan kami” manakala Fr Alvin memaklumkan bahawa siri ceramah mengenai panggilan sedang dalam perancangan.
Sesi dua jam itu ditamatkan dengan lagu ‘The Summons’.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Vocation Sunday Special: Is God calling You?