Dua Seminarian melangkah dengan iman untuk menjadi Diakon

Pentahbisan Diakonat di Gereja OLQP, stesen luar paling jauh dalam Keuskupan Agung Kuching, dikendalikan oleh Uskup Agung Simon Poh pada 19 Februari 2022. (Foto: Danison Manium)

Oleh Ivy Chai

KUCHING — Pada 2014, dua pemuda telah mengambil langkah iman, walaupun sudah sekian lama bekerja, untuk menyahut “panggilan” dan memasuki Kolej St Peter di Kota Kinabalu, Sabah, bagi memulakan tahun inisiasi mereka kepada kepaderian.

Seminarian Davie anak Entalai dan Seminarian Henry anak Jimbey kembali ke Sarawak pada 2015 untuk menyiapkan pengajian eklesiastik mereka dalam Falsafah di Seminari Utama Kolej St Peter di Kuching.

Mereka menyiapkan pengajian mereka dalam kitaran teologi, dari 2017 hingga 2021, dan lulus pada Mei 2021.

Mereka dimasukkan ke dalam Pencalonan bagi Kepaderian (Candidacy for Holy Orders) dan menjalankan Upacara Kemasukan (Rite of Admission), Ikrar Taat Setia (Oath of Fidelity), dan Pengakuan Iman (Profession of Faith) di hadapan Uskup Agung Simon Poh di satu acara peribadi di Chapel Kolej St Peter pada 10 Februari 2022.

Upacara Pentahbisan ke dalam Golongan Diakon

Pentahbisan Diakonat bagi Seminarian Davie Entalai berlangsung di paroki asalnya di Gereja Our Lady Queen of Peace (OLQP atau Perawan Ratu Damai) di Simanggang pada 19 Februari lepas, manakala Seminarian Henry Jimbey ditahbis menjadi Diakon di paroki asalnya di Gereja St Stephen, Bau, pada 20 Februari.

Pentahbisan Diakonat itu turut distrim secara langsung dari Gereja OLQP dan Gereja St Stephen menerusi YouTube dan Facebook.

Misa Kudus bagi kedua-dua pentahbisan dirayakan oleh Uskup Agung Simon bersama Uskup Agung Emeritus John Ha, Fr Jerome Juleng dan Fr Peter Liston, iaitu Rektor bagi paroki masing-masing, serta para paderi dari Keuskupan Agung Kuching yang menghadiri pentahbisan berasingan itu.

Selepas dianugerahkan dengan stola dan dalmatik, kedua-dua Diakon yang baharu ditahbis menerima Kitab Injil daripada Uskup Agung yang memberitahu mereka, “Terimalah Injil Kristus, yang mana anda telah menjadi bentaranya. Percayalah apa yang anda baca, ajarlah apa yang anda percaya, dan amalkanlah apa yang anda baca.”

Uskup Agung Simon kemudian menyambut mereka ke dalam Golongan Diakon dan mempersembahkan mereka kepada para paderi yang hadir dan kepada jemaat yang bertepuk tangan.

Uskup Agung Simon bersyukur kepada Allah Taala kerana memberikan kedua-dua diakon baharu itu, dan berkata ia adalah “satu sukacita untuk menyambut” kedua-dua bakal anggota kepaderian yang baharu, dan menyuarakan harapan beliau bagi pentahbisan kepaderian berganda menjelang hujung tahun ini.

Diakon Davie menerima Kitab Injil daripada Uskup Agung Simon Poh.
Doa Pentahbisan – Uskup Agung Simon menopang tangan beliau ke atas Diakon Henry.

Beliau menduga ia pasti “perjalanan iman yang jauh” dan “mencabar” bagi kedua-dua Diakon yang baharu ditahbis sejak perjalanan mereka bermula, dan mengucapkan tahniah kepada mereka di atas “komitmen” dan “keberanian untuk mengambil langkah iman ini” bagi menyahut panggilan Allah Taala.

Beliau percaya pembentukan mereka di seminari dan tugasan pastoral di pelbagai paroki akan melengkapkan mereka secukupnya untuk berkhidmat dan berbakti di Keuskupan Agung Kuching.

Uskup Agung Simon turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan anggota keluarga kedua-dua Diakon yang baharu ditahbis dan menyampaikan tanda penghargaan kepada mereka kerana “menghadiahkan” anak-anak mereka.

Diakon Davie anak Entalai

Diakon Davie yang baharu ditahbis memilih ayat Al-Kitab, “… Sekiranya gandum tidak jatuh ke dalam tanah dan mati … ia tidak akan menghasilkan tuaian yang lumayan”, sebagai tema pentahbisan beliau. 

Beliau dilahirkan pada 22 Mac 1984 di KK Pantu, Simanggang, kepada Edwin Entalai anak Chuwat dan Catherine Enta anak Lanjat.

Davie merupakan anak keempat dalam kalangan keluarga lima adik-beradik. Beliau memiliki Diploma dalam Kesihatan Awam dan sudah menjalankan tugas pastoral di Gereja Roh Kudus, Lundu, sejak Jun 2021.

Dalam ucapan kesyukuran beliau, Diakon Davie mendedikasikan pentahbisan beliau “kepada Kemuliaan Tuhan” dan mengucapkan terima kasih kepada Uskup Agung Simon, Uskup Agung Emeritus Peter Chung dan Uskup Agung Emeritus John Ha, penasihat rohani beliau, formator atau pembentuk, seminarian, dan semua yang telah membantu beliau dalam perjalanan iman beliau.

“Pengalaman saya di seminari merupakan bahagian yang terbaik dalam hidup saya, penuh cabaran, namun ia sama sekali indah, bermakna dan berhasil,” kata beliau.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan adik-beradik beliau di atas kasih sayang dan sokongan mereka.

Diakon Davie Entalai bersama ibu bapa beliau dan Uskup Agung Simon Poh, pada 13 Februari 2022, di Gereja OLQP, Sri Aman.

Diakon Henry anak Jimbey

Diakon Henry memilih untuk berdoa “Bersabdalah Tuhan, hamba-Mu sedang mendengar” sebagai tema pentahbisan beliau.

Beliau dilahirkan pada 29 September 1973 kepada Stephen Jimbey anak Nyaim dan Monica Nona anak Jacob dari Kampung Suba Buan, Bau.

Henry merupakan anak kelima dalam keluarga enam adik-beradik. Beliau lulus dengan Ijazah Sarjana Muda dalam Sains Sosial, Ijazah Sarjana dalam Komunikasi Korporat, dan memiliki Diploma dalam Pendidikan (Matematik). 

Beliau ditugaskan ke Paroki OLQP di Sri Aman bagi penyerapan pastoral selanjutnya sejak Jun 2021.

Dalam ucapan beliau kepada kongregasi selepas pentahbisan beliau, Diakon Henry turut mengucapkan terima kasih kepada Uskup Agung Simon dan Uskup Agung Emeritus John Ha, para paderi yang ramai, formator, seminarian, dan ramai lagi di atas “kasih dan sokongan mereka yang amat kuat”.

Beliau berkata beliau terharu dan memanjatkan “kesyukuran kepada Allah Taala” yang telah memainkan peranan besar dalam panggilan beliau.

Beliau menggesa kepada para muda-mudi untuk tidak takut melayan. Beliau akhir sekali mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan adik-beradik beliau di atas kasih sayang dan sokongan mereka.

Diakon Henry Jimbey bergambar bersama ibu bapa beliau dan Uskup Agung Simon pada 20 Februari 2022 di Gereja St Stephen, Bau.

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Seminarians Davie and Henry took “a leap of faith”, now newly ordained Deacons

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.