Oleh Ivy Chai
KUCHING — Misa Merah atau Votif, bagi mendapatkan bimbingan daripada Roh Kudus untuk fraterniti guaman, telah dirayakan di Keuskupan Agung Kuching sejak 2015.
Para peguam Katolik sekali lagi berhimpun pada tahun ini, selepas tidak mengadakan perayaan itu pada tahun lepas disebabkan oleh pandemik koronavirus, untuk berdoa bagi pembukaan tahun kehakiman 2022.
Misa yang diadakan di Katedral St Joseph pada 12 Februari itu dirayakan oleh Uskup Agung Simon Poh, bersama Fr Galvin Ngumbang dan Fr Mark Bonchol.
Dalam ucapan alu-aluan beliau yang mesra kepada sekumpulan kecil peguam dan keluarga-keluarga mereka ke katedral yang baharu diubahsuai, Uskup Agung Simon berkata: “Misa Merah memberi peluang kepada komuniti guaman untuk merenungkan kuasa yang diberi Tuhan dan tanggungjawab semua dalam profesion undang-undang, dan membela semua yang menuntut keadilan.”
Uskup Agung Simon dan para paderi memakai jubah berwarna merah kerana “dari segi liturgi, merah adalah warna api dan darah, yang melambangkan api Roh Kudus dan darah martir”.
Uskup Agung menyeru kepada para peguam untuk “berdoa bagi anugerah-anugerah Roh Kudus, khususnya kebijaksanaan, kefahaman, nasihat dan ketabahan, bagi semua pemimpin agama kita dan anggota profesion undang-undang… hakim, peguam, profesor sekolah undang-undang, pelajar undang-undang, dan pegawai kerajaan”.
Sambil merenungkan bacaan Misa yang dipetik daripada Kitab Pertama Raja-Raja tentang salah guna kuasa, Uskup Agung dalam homili beliau membandingkannya dengan situasi semasa di dunia.
“Apakah yang dapat dilakukan oleh komuniti-komuniti keagamaan dan perundangan? Apakah yang diberitahu oleh Firman Tuhan kepada kita?” beliau bertanya.
Beliau menyarankan agar umat Kristian:
- Menerima apa sahaja yang kita miliki sebagai anugerah daripada Tuhan, termasuk hati, jiwa, minda dan kekuatan kita.
- Menganggap kelimpahan perkara dan benda baik yang ada di sekeliling kita di Bumi sebagai keberkatan yang perlu dikongsikan.
- Mengelak cita-cita yang mementingkan diri serta ketakutan dan kecurigaan tidak sihat yang sentiasa mengiringi cita-cita sedemikian.
- Bersikap jujur dan mengaku kegagalan kita dan belajar daripadanya dan bukannya meletakkan kesalahan ke atas orang lain.
Prelatus itu berkata umat Kristian harus sentiasa bersyukur dan melakukan perkara kerana belaskasihan dan kasih, dan pada waktu yang sama berkongsi masa, bakat dan harta kita dengan murah hati agar kita dapat memperoleh kehidupan abadi.
Seru bimbingan Roh Kudus
Uskup Agung Simon menasihatkan para peguam untuk “menyeru bimbingan Roh Kudus” bagi “membela semua yang menuntut keadilan serta membina tamadun dan negara yang muhibah, harmoni, saling hormat-menghormati dan menerima satu sama lain di negeri Sarawak yang kita sayangi, dan negara kita, Malaysia.”
Selepas perayaan Ekaristi, Uskup Agung Simon menamatkan Misa Merah dengan nasihat ini daripada ajaran nabi (Mikah 6:8): “Anda sudah diberitahu apa yang betul dan apa yang Tuhan inginkan daripada anda. Hanya ini: buatlah perkara yang betul, kasihilah dengan lemah lembut, dan berjalanlah dengan rendah hati bersama Tuhan anda”, yang beliau rumuskan dengan amat baik sekali dalam akronim L.A.W.
L – Love tenderly (Kasihilah dengan lemah lembut)
A – Act justly (Bertindak dengan adil)
W – Walk humbly with our God among the people (Berjalanlah dengan rendah hati bersama Tuhan kita dalam kalangan rakyat)
“Lakukanlah ini, dan anda akan diambil kira dalam kalangan umat Tuhan yang diberkati dan bahagia,” nasihat prelatus itu.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Catholic lawyers told to invoke the guidance of the Holy Spirit