Oleh Sibu SOCCOM
SIBU — Keuskupan Sibu telah membentuk Pasukan Fasilitator Proses Sinodal selepas melancarkan Proses Sinodal di Katedral Sacred Heart (SHC) pada 21 November 2021.
Pasukan fasilitator itu, yang terdiri daripada 70 saudara-saudari, telah memulakan kerja misi mereka untuk mengadakan konsultasi dengan umat Allah hingga April 2022.
Anggota-anggotanya datang dari pelbagai pergerakan awam, kumpulan, komuniti SHC selain kumpulan-kumpulan kerasulan bahasa-bahasa Cina, Iban dan Inggeris.
Semua fasilitator diharapkan melayani dengan rendah hati, sentiasa mendengar jemaat, dan menyantuni golongan yang terpinggir, orang miskin, orang sakit, balu-balu, mereka yang kesunyian, warga emas, orang muda, dan mereka yang telah meninggalkan Gereja.
Kesemua 70 fasilitator telah menjalani latihan pada 20 November lepas di Pusat Pastoral Keuskupan Sibu.
Latihan tersebut dikendalikan oleh Penyelaras Keuskupan bagi Proses Sinod, Fr Ivan Fang.
Fr Fang merupakan seorang paderi Misionari Mill Hill dari Brunei selain menjadi pengasas kepada Komuniti Misionari Korpus Kristi (MCCC).
Sesi latihan itu meliputi tujuh topik: Segalanya Mengenai Sinodaliti, Peranan Fasilitator, Langkah-langkah bagi Fasilitasi Kumpulan, Penyelesaian Masalah Sewaktu Fasilitasi, Proses Konsultasi Sinod, Penggunaan Buku Panduan Fasilitator, dan Merekodkan dan Membuat Sintesis.
Pada 10 Oktober lalu, Paus Francis secara rasmi melancarkan proses sinodal selama dua tahun dengan tema ‘Bagi Gereja Sinod: Komuni, Penyertaan, dan Misi’.
Sinod Sinodaliti dalam Gereja Sejagat (Katolik) ini adalah bersejarah kerana ia akan melibatkan konsultasi yang paling meluas dan paling umum dalam sejarah Gereja pada peringkat-peringkat keuskupan, negara, serantau dan sejagat.
Seruan Paus Francis ini bagi Sinodaliti dalam Gereja Sejagat menuntut keberanian yang amat tinggi, kerana beliau telah mengubah secara drastik corak Sinod daripada bersifat kolej atau ‘collegial’ (Kolej Uskup-uskup dalam komuni (kesatuan) dengan Paus) kepada bersifat sinodal (membenarkan semua anak Allah untuk mengambil bahagian).
Sebagai persiapan bagi Sinod Uskup-uskup 2023, Paus Francis menyeru kepada semua umat Allah untuk berjalan bersama beliau dalam Komuni, Penyertaan dan Misi, dan sama-sama mendengar Roh Kudus.
Matlamat akhirnya adalah untuk mencari jalan bagi setiap anak Allah yang dibaptis untuk menunaikan aktiviti Gereja sebagai misionari yang mewartakan kasih dan penyelamatan Allah dalam Yesus Kristus kepada dunia, yang merupakan tugasan Gereja yang paling besar dan paling suci.
Proses mendengar umat, berjalan bersama Paus Francis, dan mendengar Roh Kudus ini dipanggil Proses Sinodal.
Istilah ‘sinod’ bermaksud ‘untuk berjalan bersama’ atau ‘mengembara bersama-sama’ dalam bahasa Yunani (Greek).
Menerusi proses ini, Gereja ingin mendengar jawapan kepada dua pertanyaan asas.
Soalan-soalan tersebut adalah:
“Bagaimanakah ‘mengembara bersama-sama’ ini berlaku pada hari ini di gereja tempatan anda?”
“Apakah langkah-langkah yang Roh Kudus tawarkan untuk kita ambil supaya kita berkembang ketika kita ‘mengembara bersama-sama’?”
Sebagai respon kepada seruan ini, keuskupan dan paroki di seluruh dunia telah memulakan ‘Proses Sinodal’ mereka pada 17 Oktober lalu.
Keuskupan Sibu memulakan mesyuarat pertamanya secara maya pada 25 Oktober lalu untuk bersiap-sedia bagi Proses Sinodal itu.
Wakil-wakil dari semua paroki dalam Keuskupan itu menghadiri mesyuarat tersebut.
Fr Fang turut membentangkan peta jalan saranan bagi Proses Sinodal untuk Keuskupan Sibu, dan berbincang dengan para penyelaras paroki mengenainya.
Selepas mesyuarat pertama, Keuskupan itu telah mengadakan Latihan Penyelaras Proses Sinodal pada 6 November lalu di Bilik Mesyuarat SHC.
Seramai 41 penyelaras paroki dari 12 paroki mengambil bahagian dalam latihan tersebut.
Uskup Sibu Right Reverend Joseph Hii mengulangi seruan Paus Francis, “Keperluan itu tiada bagi sebuah lagi gereja, tetapi untuk mewujudkan gereja yang berbeza” bagi memastikan Gereja “kekal dalam keadaan misi”.
Gereja yang berbeza itu, katanya, ada tiga tanda: ‘Sinodal, Mendengar dan Memulihkan’.
“Gereja Sinodal yang disusun atur untuk berjalan bersama-sama, di mana semua rasa selesa, di mana semua mengambil bahagian dan menerima pemilikan.
“Gereja Mendengar yang berhenti dan mendengar Roh Kudus dalam Doa, yang mendengar satu sama lain, harapan mereka, krisis kepercayaan mereka, dan keperluan mereka bagi kehidupan pastoral yang baharu.
“Gereja Memulihkan di mana Allah sentiasa hadir, hadir bagi semua, dengan keakraban, belaskasihan dan keprihatinan. Gereja yang mengubati luka, memulihkan hati yang hancur dengan sentuhan Allah,” katanya.
Semua jemaat Katolik diundang untuk berdoa agar Roh Kudus membimbing gereja tempatan dalam Proses Sinodal ini.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: Launch of Synodal Process in the Diocese of Sibu