KUCHING – Dalam Misa Senja pada 30 Januari lalu, Sister Maria Jovita SSFS membuat ikrar terakhirnya bagi kehidupan religius, disaksikan oleh ahli-ahli keluarganya dan lebih seribu anggota paroki.
Sewaktu upacara melafazkan ikrar, Sr Jovita bertelud di hadapan Superior Jeneral Sister Flora Tingang SSFS dan Uskup Agung John Ha dan melafazkan tiga kaul iaitu kesucian, kemiskinan dan kepatuhan sehingga akhir hayatnya.
Uskup Agung kemudian memberkati dan menyarungkan cincin pada jari cincin Sr Jovita sambil berkata: “Saya menyerahkan anda kepada Yesus Kristus, Putera Bapa Maha Besar, dan semoga Dia mengekalkan anda di dalam kasihNya. Terima Cincin Keimanan dan Kesetiaan ini, tanda Roh Kudus, agar anda boleh dipanggil Pengantin Tuhan.”
Sr Jovita, 35, dilahirkan kepada Michael Gani, seorang pesara tentera, dan Ceclia Baor, seorang suri rumah.
Beliau adalah anak ketiga di kalangan lima adik beradik.
Benih panggilan religius mula berkembang sejak beliau mengenali sister-sister Fransiskan pada 1992 ketika beliau terlibat dalam aktiviti gereja di Sibu.
“Saya mahu menjadi seperti mereka yang mengabdi diri kepada orang lain,” katanya kepada Today’s Catholic.
“Tsunami dan gempa bumi di Lautan Hindi pada 2004 meninggalkan kesan mendalam pada diri saya. Saya seterusnya memutuskan untuk menimbang kehidupan religius dengan serius,” katanya.
Sr Jovita memulakan formasi religius pada 2006 dan membuat ikrar pertamanya pada 31 Mac 2009.
Ditanya sama ada beliau ada sebarang nasihat atau tidak bagi mereka yang mungkin berminat dengan kehidupan religius, beliau berkata, “Masuklah untuk mencubanya. Anda tidak akan rugi apa-apa!”
Sr Jovita sekarang berkhidmat di Keuskupan Sibu.
Audrey Yu (Terjemahan)
Today’s Catholic Vol.27 No.12 March 2016