Keuskupan Agung Kuching terima paderi baharu pada waktu pandemik COVID-19

Fr Mark Noel Bonchol (2 kiri barisan depan) yang baharu ditahbis mengambil tempat beliau dalam kalangan paderi Presbiterium Keuskupan Agung Kuching, 8 Disember 2021. (Gambar: Danison Manium)

Oleh Ivy Chai

KUCHING — Presbiterium Keuskupan Agung Kuching menyambut paderi baharu, Fr Mark Noel Bonchol, dalam Misa untuk meraikan Hari Raya Kandungan Tanpa Noda Perawan Maria (Immaculate Conception of Blessed Virgin Mary) pada 8 Disember 2021. Pentadbisan diakonat beliau diadakan sewaktu hari raya Maria juga pada 25 Mac lalu, iaitu Hari Raya Malaikat Gabriel Mengumumkan Kelahiran Tuhan (Annunciation of the Lord) kepada Perawan Maria.

Pentahbisan Kepaderian Fr Mark ternyata sangat menyenangkan. Kehadiran koir untuk menyanyikan lagu-lagu dan bahagian Misa mewujudkan suasana yang tiada sejak pandemik bermula. Misa Pentahbisan beliau dirayakan oleh Uskup Agung Simon Poh bersama dua Uskup Agung Emeritus, Peter Chung dan John Ha.

Jemaat yang datang ke Katedral St Joseph dihadkan kepada ahli keluarga, paderi, seminarian, religius dan tetamu jemputan. Rakan-rakan dan komuniti Kristian amnya, yang tidak dapat hadir secara fizikal disebabkan oleh Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pandemik, diundang untuk menyertai Misa dan menyaksikan pentadbisan Fr Mark menerusi penstriman secara langsung.

Pada akhir Upacara Pentahbisan, Uskup Agung Simon mengurapi tangan paderi yang baharu ditahbis itu dengan minyak Krisma Suci ketika beliau berlutut di hadapan Uskup Agung, dengan kata-kata: “Tuhan Yesus Kristus, yang diurapi Bapa dengan Roh Kudus dan kuasa, menjaga dan memelihara anda, supaya anda menguduskan umat Kristian dan mempersembahkan korban kepada Allah.”

Fr Vincent Chin kemudian membantu Fr Mark memakai stola dan chasubel, sebelum beliau pergi kepada prelatus untuk Persembahan Pemberian.

Uskup Simon meletakkan paten yang menempatkan roti serta piala yang mengandungi wain yang dicampur dengan air bagi perayaan Misa, dan dipersembahkan oleh jemaat, di atas tangan Fr Mark. “Terimalah pemberian umat suci untuk disampaikan kepada Allah. Fahamilah apa yang anda buat, tirulah apa yang anda rayakan, dan bentuklah kehidupan anda selari dengan misteri Salib Tuhan,” kata Uskup Agung kepada paderi baharu itu. Uskup Agung Simon kemudian menyambut beliau dengan tanda damai dan ciuman persaudaraan (pada jarak sedepa), dan Fr Mark kemudian memberikan tanda damai kepada kedua-dua Uskup Agung Emeritus dan paderi lain yang membalas dengan tanda damai dan tepukan tangan.

Misa kemudian disambung dengan perayaan Ekaristi. Pada hujung Doa selepas Komuni, Doa kepada Santo Yosef disebut untuk menutup Tahun Santo Yosef.

Uskup Agung Simon Poh mengalu-alukan paderi baharu

Dalam ucapannya, Uskup Agung Simon mengucapkan terima kasih kepada Fr Mark “kerana berani mengambil langkah iman” untuk memasuki seminari pada usia 40 tahun selepas menjalani kehidupan bekerja yang bebas selama 25 tahun. Ketika itu Fr Mark pada awalnya hanya ingin “meneroka sama ada Allah memanggil saya kepada kepaderian”. Uskup Agung menganggap pentahbisan Fr Mark selaku diakon dan paderi pada dua hari raya Maria sebagai satu pemberkatan ke atas Fr Mark.

“Sebagai seseorang yang mempunyai banyak anugerah, semoga Tuhan menggunakan anda dengan penuh kuasa untuk memberkati umat Allah,” kata Uskup Agung dan mengingatkan beliau tentang moto yang dipilihnya: “Ia mesti meningkat, tetapi aku mesti berkurangan” (Yohanes 3:30). Uskup Agung menerima beliau ke dalam ministri, dan hakikat bahawa beliau akan bekerja dengan paderi lain, dengan berkata: “Semoga anda mengalami sukacita yang sebenarnya dalam kerja anda di ladang Tuhan.”

Paderi yang baharu ditahbis itu kemudian menerima Buku Misa BM dan Minyak Krisma daripada Uskup Agung Simon, yang kemudian memberikan hadiah kepada abang Fr Mark, Andy, dan kakak beliau, Ann, sebagai tanda kesyukuran “kerana memberi adik mereka” kepada Gereja.

Ucapan paderi baharu, Fr Mark Noel Bonchol

Selepas memberi pemberkatan pertama beliau sebagai paderi kepada kakak, abang dan kakak iparnya, paderi baharu itu mengucapkan terima kasih kepada Uskup Agung Simon dan kedua-dua Uskup Agung Emeritus, Peter dan John, di atas kehadiran mereka di upacara pentahbisan beliau.

Fr Mark Noel Bonchol

Beliau merasakan beliau sudah melengkapkan satu pusingan dengan Pentadbisan Kepaderian beliau yang berlangsung pada 8 Disember, iaitu Hari Raya Kandungan Tanpa Noda Perawan Maria. Ketika beliau menceritakan tentang kisah panggilan beliau, Fr Mark berkata ia bermula di paroki asalnya di Gereja St Mary, Sibu, di mana mereka merayakan hari perayaan paroki mereka pada Hari Raya Kandungan Tanpa Noda.

Fr Mark berkata beliau lebih suka mengaitkan pentadbisan beliau dengan “kita” dan bukan “saya” kerana tanpa doa dan sokongan, pentahbisan beliau tidak mungkin dapat dimakbulkan. “Ia memerlukan iman seluruh komuniti untuk mengangkat seorang seminarian sehingga menjadi paderi,” katanya. Beliau bersyukur kepada Allah di atas anugerah kepaderian, dan Bonda Maria di atas kasih dan penjagaan bonda. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ramai paderi termasuk formator iman di Seminari St Peter, rakan-rakan, abang dan kakak, mendiang bapanya, dan juga ibunya di atas kesabaran dan keprihatinannya.

Kepada mereka yang meneroka jalan dalam kehidupan kepaderian atau religius, beliau ada nasihat ini untuk mereka:

“Jangan takut. Sebaliknya, cuba sahaja.” Beliau mengakhiri ucapan dengan memohon doa untuk diri beliau.

Uskup Agung Simon menamatkan Pentadbisan Kepaderian dan Misa dengan pemberkatan terutamanya bagi Fr Mark yang baharu ditahbis, selain semua peserta dalam talian.

Biografi Ringkas dan Pembentukan Seminari

Paderi yang baharu ditahbiskan, Fr Mark Noel Bonchol, anak bongsu di antara empat adik-beradik, lulus dengan ijazah Sarjana Muda Kesenian (BA) dari sebuah universiti Australia dan Diploma Siswazah dalam Pengurusan Sumber Manusia dari United Kingdom.

Beliau memulakan karier dalam kedua-dua sektor swasta dan awam sebelum beliau memohon untuk menyertai Seminari St Peter dan “meneroka” panggilan beliau.

Beliau diterima masuk ke dalam Kolej St Peter di Kota Kinabalu, Sabah, pada 2013 bagi tahun inisiasi beliau.

Beliau meneruskan formasi di Seminari Utama Kolej St Peter di Kuching pada 2014 dan melengkapkan pengajian dalam falsafah dan teologi pada Mei 2020.

Dari Ogos 2020 hingga April 2021, beliau ditugaskan ke Gereja Holy Trinity, Kenyalang Park, Kuching untuk penerapan pastoral sebelum beliau menjalani ministri diakon di Paroki Katedral St Joseph.

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Archdiocese of Kuching gifted with a new Priest amidst COVID Pandemic

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.