Gereja Pasca Pandemik

Uskup Agung Simon Poh. (Foto fail)

PEMERHATIAN untuk RENUNGAN

daripada Uskup Agung Simon Poh

1. Adakah kita akan kehilangan umat Katolik selepas pandemik ini? Apakah sebabnya?

Kehadiran di sembahyang Misa masih sangat rendah walaupun bangunan gereja sudah dibuka semula. Selepas 18 bulan mengadakan Misa dalam talian, pertanyaan yang penting adalah, “Adakah umat Katolik masih akan kembali ke gereja untuk menerima sakramen?” Ratusan bayi sedang menunggu untuk dibaptis, dan adakah ibu bapa masih akan menghantar anak-anak ke Sekolah Hari Minggu apabila ia dibuka sepenuhnya nanti? Bagaimana pula dengan anak-anak muda kita yang menghabiskan kebanyakan waktu mereka dengan melayan telefon bimbit dan komputer? Majoriti daripada mereka tidak didaftarkan untuk Kelas Kateksime dalam talian.

2. Siapakah yang akan meneruskan kerja kita? Ada rancangan penggantian?

Dalam pelayanan liturgi dan pertubuhan awam gereja, kita menyedari bahawa kita selama ini bergantung kepada warga emas yang merupakan orang Katolik yang sangat komited. Apabila SOP tidak menggalakkan mereka yang berusia lebih 60 tahun, dan merupakan golongan yang telah melayan di gereja, untuk datang ke gereja, kita tiba-tiba mengalami kekosongan berhubung orang yang dapat melayan di gereja dan sewaktu sembahyang Misa. Bagaimanakah kita mengangkat pemimpin baharu dalam kalangan generasi muda?

3. Senario Sosio-Politik dan Ekonomi

Sejak 2018, kita telah melihat tiga kerajaan pemerintah bersilih ganti yang telah membawa perubahan kepada beberapa dasar institusi yang menjejaskan rakyat, khususnya dalam pendidikan, kewangan dan pengurusan ekonomi, malah kebebasan beragama seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, terdapat juga cabaran kepada perkhidmatan kesihatan dan perubatan, buruh/pekerjaan disebabkan oleh sekatan pergerakan. Ini telah memberi impak kepada gereja-gereja kita. Kita perlu memikirkan semula cara yang kreatif untuk mengurus kegiatan pastoral kita dan penyertaan kita dalam lingkungan sosio-politik.

4. Internet merupakan satu anugerah di bandar raya, tetapi jurang digital semakin meningkat di kawasan luar bandar

Kita diberkati kerana pada waktu pandemik ini, dengan kemajuan teknologi dan sambungan internet, terutamanya di bandar raya dan bandar utama, kita dapat mengambil bahagian dalam mesyuarat, seminar dan mengendalikan sesi pembentukan dalam talian. Namun kita tidak boleh lupa dengan masyarakat luar bandar yang tidak memiliki jalur lebar internet yang memadai selain terlalu miskin untuk mengakses gajet moden ini dan instrumen mudah alih. Kita kini sedang melihat jurang antara golongan kaya dan golongan miskin yang semakin meluas, mereka yang mampu menikmati teknologi dan mereka yang ketinggalan di luar bandar. Jurang digital ini dikhuatiri akan menjadi realiti apabila anak-anak ini menjadi orang dewasa nanti. Bagaimanakah kita dapat memperkasakan golongan miskin dan belia luar bandar?

5. Golongan miskin baharu dalam kalangan kita dalam komuniti paroki

Sejak pandemik ini berlaku, gereja telah mengagihkan hampir 5,000 bakul makanan kepada golongan memerlukan bantuan, di kampung luar bandar dan dalam bandar raya Kuching. Sekarang kita ada kategori ‘NEW POOR’ (golongan miskin baharu), iaitu mereka yang kehilangan pekerjaan baru-baru ini dan mereka yang tidak dapat meneruskan perniagaan mereka, dan sebagainya. Adakah kita kenal siapa dalam kalangan kita yang berada dalam kategori golongan miskin baharu? Apakah tindakan kita?

6. Isu-isu Kesihatan Mental & Tindakan

Kita telah melihat semakin banyak isu kesihatan mental, kesepian dan kemurungan, terutamanya dalam kalangan warga emas yang rasa terpinggir dan terkurung di rumah disebabkan oleh isu kesihatan. Cubaan membunuh diri semakin banyak apabila orang yang menderita tidak dapat lagi menanganinya atau berfikir dengan rasional. Khidmat kaunseling dan bantuan amat diperlukan bagi golongan ini. Kita bersyukur kepada Tuhan di atas doa-doa Calvary Hour of Mercy dalam talian harian dari jam 3.00 hingga 4.00 petang yang dilancarkan pada 14 September yang lepas, iaitu Hari Raya Penyanjungan Salib.

Kita memerlukan cara bagi umat Katolik untuk menyantuni warga emas dengan menghubungi mereka yang hidup bersendirian di rumah. Saya membayangkan bahawa pertubuhan awam (contohnya Legio Maria, Kumpulan Rosari Blok Keluarga, kelompok Doa dan kelompok Sel, persaudaraan Warga Emas, dan sebagainya) dapat memulakan inisiatif baharu ini untuk membuat panggilan telefon yang singkat bagi memastikan warga emas menangani keadaan dengan baik selain memanjatkan doa untuk membantu mereka menjalani kehidupan seharian. Realiti baharu menuntut pelayanan baharu yang akan dibangkitkan oleh Roh Kudus. Siapakah yang akan menyahut seruan untuk menyertai pelayanan ini?

7. Penjagaan pastoral bagi keluarga yang terkesan akibat kematian

Bagi keluarga yang terkesan akibat kematian pada waktu pandemik, mereka mungkin mengalami trauma, kesengsaraan dan kehilangan, dan proses berkabung mungkin dipikul sendirian oleh keluarga terbabit disebabkan oleh sekatan pergerakan ke atas ahli keluarga terdekat. Keperitan dan kehilangan adalah jauh lebih terasa oleh keluarga yang menerima impak secara langsung daripada kematian orang tersayang akibat jangkitan COVID-19. Ini amat dirasai suami atau isteri dan anak-anak yang ditinggalkan. Penjagaan pastoral dan usaha menyantuni keluarga sedemikian oleh kumpulan Katolik di kawasan kejiranan mereka, kelompok doa dan sebagainya, amat diperlukan.

Adakah kita melakukan lawatan pastoral dan menyediakan sokongan emosi dan rohani kepada keluarga Katolik yang berkabung?

8. Fokus Semula kepada Keluarga sebagai Gereja Domestik & Keluarga Malaysia

Kita kini kembali semula kepada Keluarga sebagai Gereja Domestik disebabkan oleh pandemik ini. Kita menyedari bahawa pandemik ini dengan sekatan pergerakannya telah memberi peluang atau malah memaksa keluarga untuk meluangkan masa bersama. Ramai pasti bersetuju bahawa kita lebih kerap makan bersama di rumah berbanding sebelum pandemik selain berdoa bersama. Ini adalah peluang untuk bercakap mengenai Keluarga Kristian sebagai blok binaan Gereja, masyarakat, dan seterusnya negara kita. Semoga Keluarga Kristian mewujudkan nilai-nilai keluarga dan Injil yang tulen untuk menyumbang kepada gagasan negara kita sebagai Keluarga Malaysia. Semoga kehidupan keluarga Kristian menjadi asas contoh bagi negara kita.

PRINSIP-PRINSIP PANDUAN YANG DISARANKAN

1. Jadilah Gereja yang telah berada di Jalanan dan ada bau Domba

Bagaimanakah kita menyantuni umat dan menjadi Gereja Evangelii Gaudium yang mempunyai bau domba; gereja yang telah berada di jalanan untuk menjaga umat Tuhan? Adakah anda tahu Wawasan Tuhan bagi Gereja kita?

2. Selalu Ingat Umat Katolik yang tidak dapat mengambil bahagian dalam Gereja

Tetapi apabila kita dengan ikhlas membuat perkiraan, kita menyedari bahawa kita dengan mudah telah meminggirkan lebih 80 peratus umat Katolik yang tidak mendapat manfaat secara langsung daripada penjagaan pastoral yang disediakan oleh paroki-paroki.

3. Jangan lupa Golongan Miskin yang memerlukan bantuan kita untuk hidup

Permintaan saya adalah bagi semua PPC untuk fokus dan memenuhi keperluan segera bagi makanan, tempat pelindungan dan pakaian buat golongan miskin baharu. Jangan membiarkan program pembentukan kita atau perbincangan di mesyuarat kita untuk menyebabkan kita hilang tumpuan kepada golongan miskin yang dimiliki Tuhan.

“Jika seorang saudara atau saudari tidak mempunyai pakaian dan kekurangan makanan sehari- hari, dan seorang daripada kamu berkata kepada mereka, ‘Aku mendoakan kesejahteraan kamu; pastikan diri kamu panas dan makanlah sampai kenyang’, tetapi ia tidak memberikan kepadanya keperluan hidup yang asas ini, apakah gunanya? Iman adalah seperti itu: jika perbuatan yang baik tidak mengiringinya, ia adalah mati.” (Yakobus 2:15-17).

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Post Pandemic Church

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.