Gadis Kuching sahut panggilan Tuhan untuk menyertai perkumpulan ‘Daughters of Divine Charity’ di England

Selepas Lafaz Ikrar Kaul Sr Anna Yeo FDC, 28 Ogos 2021, England. (Gambar: fdc-sisters)

Pada 28 Ogos 2021, hari raya Santo Augustine, saya telah memberi ikrar kaul terakhir saya sebagai seorang Anak Perempuan Kasih Ilahi (Daughter of Divine Charity) di England. Saya sudah bersama perkumpulan biarawati ini selama tujuh tahun.

Ia bukan sesuatu yang saya pernah bayangkan bagi diri saya, terutamanya apabila saya tidak melihat diri saya sebagai seseorang yang alim, malah saya mendapati doa menjemukan!

Sebagai seorang warga Malaysia berbangsa Cina yang tipikal, saya membesar dengan mengejar keputusan akademik terbaik supaya saya dapat berjaya dan memiliki pekerjaan bergaji lumayan selain mengahwini seorang lelaki yang baik dan mempunyai keluarga kecil yang bagus.

Saya berjaya melakukan sebahagian daripadanya. Saya pergi ke sekolah-sekolah yang hebat, iaitu Sekolah Rendah Santa Theresa, Sekolah Menengah Santa Teresa dan kemudian Sekolah Menengah Santo Joseph.

Saya bekerja sebagai Perunding Alam Sekitar selama enam tahun dan saya amat menyukainya. Saya berpuas hati dan selesa dengan kehidupan saya di Kuching. Saya memiliki lebih daripada segalanya yang saya perlukan.

Kemudian saya membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian di England. Ijazah Sarjana (Masters) selama setahun untuk membantu saya maju dalam karier saya dalam bidang Sains Alam Sekitar.

Saya ada rancangan yang bercita-cita tinggi. Permohonan saya diterima oleh semua universiti yang mendapatnya, dan pada akhirnya, saya memutuskan untuk pergi ke Universiti East Anglia atau UEA (walaupun pada mulanya, ia bukan pilihan pertama saya).

Tanpa saya sedari, Tuhan ada sebab bagi saya untuk memilih universiti tersebut.

Saya amat seronok sekali pada tahun saya berada di UEA. Saya pergi ke Pusat Chaplain Katolik UEA setiap hari kerana saya rasakan bahawa ia adalah ruang yang selamat dan lazim bagi saya.

Saya lulus dengan kecemerlangan dalam pengajian Ijazah Sarjana Sains.

Saya ingin tinggal di England hingga visa pelajar saya tamat supaya saya dapat meneroka Eropah. Satu-satunya pilihan percuma yang saya ada adalah untuk tinggal di biara.

Paderi Pusat Chaplain Katolik mencadangkannya dan mengaturnya untuk saya. Ia bukan keputusan yang mudah untuk dibuat kerana saya amat takut dan khuatir.

Saya tinggal bersama golongan biarawati dan saya membantu mereka di sekolah mereka. Saya turut menyertai mereka di dalam doa-doa mereka dan menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka.

Pada hujung visa pelajar saya, saya tidak mahu pulang. Ia ternyata amat mengejutkan bagi saya kerana saya sangat merindukan kampung halaman. Saya merindukan keluarga saya, rakan-rakan saya dan sudah tentulah makanan!

Ketika itulah saya mula bertanya dan menilai. Ketika saya pertama kali memikirkan bahawa saya mungkin dipanggil untuk menjadi biarawati, ia telah melemahkan lutut saya. Semua jenis keraguan dan ketakutan memasuki fikiran saya.

Apabila visa saya luput, saya terbang pulang dengan benih itu tertanam di dalam fikiran saya. Saya memaklumkannya kepada keluarga saya dan beberapa rakan karib saya.

Ia ternyata bukan idea yang mereka terima dengan baik. Ia bukan laluan tipikal yang dipilih orang. Ada yang merasakan bahawa saya melepaskan terlalu banyak perkara, ada yang berfikir ia terlalu ekstrim kerana saya dapat melayan Tuhan dengan cara lain, dan ada yang bimbang saya akan dilihat sebagai seseorang yang gagal menurut definisi kejayaan di Asia. Ia ternyata waktu yang sukar.

Saya memutuskan untuk terbang balik ke England dan mendapatkan kejelasan bahawa ia bukan satu fasa yang akan berlalu.

Dalam masa sebulan, saya tahu bahawa inilah apa yang Tuhan ingin saya lakukan. Para biarawati berkenaan tidak pernah mendesak atau malah mencadangkan agar saya menjadi biarawan.

Sejujurnya, jika mereka telah berbuat demikian, saya mungkin akan lari dengan lebih cepat daripada anda dapat berkata ‘Tidak, terima kasih”!

Saya menulis surat kepada ibu saya dan Sister Superior (Ketua Biarawati) untuk memberitahu mereka tentang hasrat saya untuk menyertai golongan biarawati.

Itu adalah tujuh tahun yang lalu. Ia merupakan satu perjalanan yang mencabar. Ia tidak semudah seperti apa yang mungkin disangkakan (kami bukan hanya berdoa, makan dan tidur sahaja) tetapi saya tidak menyesal.

Terdapat tanggapan yang salah tentang kehidupan religius yang dikonsekrasi. Orang menyangka bahawa ia membatas dan rendah.

Saya pula mendapati ia membebaskan dan berkelimpahan. Saya gembira kerana saya menyahut panggilan ini. Jika ada orang yang mempunyai benih fikiran yang sangat kecil bagi panggilan ini, nasihat saya adalah untuk mencubanya!

Kita bebas untuk meninggalkannya jika itu adalah pilihan kita, tetapi anda hanya akan tahu dengan pasti jika anda cuba menjalaninya, walaupun bagi jangka pendek.

Saya tenang, saya penuh dengan sukacita yang tidak dapat dipadamkan oleh apa-apa, saya benar-benar rasa puas hati.

Saya telah mengalami dan menjalani kehidupan yang ditakrifkan sebagai berjaya dan hebat menurut standard biasa.

Sr Anna Yeo Chai Luan
Anak Perempuan Kasih Ilahi (Terjemahan)

Nota Pengarang: Anda boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkumpulan 'Daughters of Divine Charity' dalam laman sesawang mereka http://fdc-sisters.org.uk/

Berita dalam Bahasa Inggeris: Kuching girl answers God’s call to Daughters of Divine Charity England

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.