Oleh Karen Bulan Jeffrey
KUCHING — Shalom semuanya!
Alumni Kuching Archdiocesan Youth Apostolate Ke-27 (AKAYA-27) telah menganjurkan satu perjumpaan dalam talian pada 21 Ogos 2021 dengan menggunakan platform Zoom Meeting.
Program selama dua jam ini disertai 37 peserta AKAYA-27 dan juga beberapa orang fasilitator, termasuk Fr Ramon Borja SDB, Sr Martina SSFS, Sr Evelyn SSFS, Br Davie Entalai dan Br Henry Lawrence.
Karen Bulan Jeffrey, selaku koordinator program ini, menyatakan tujuan program WHAT’S UP! AKAYA-27 diadakan adalah untuk menghimpunkan semula atau mengadakan reunion selepas tiga tahun tidak berjumpa.
Program waktu malam itu diselitkan dengan aktiviti seperti permainan dan sesi perkongsian Injil dalam kumpulan-kumpulan kecil.
Walaupun tidak dapat berjumpa secara bersemuka pada masa kini, namun hal ini tidak mematahkan semangat para peserta untuk berjumpa dan berdoa secara online.
Karen juga mendapat inspirasi untuk mengatur program ini setelah dia mengikuti program ALPHA Online yang dianjurkan oleh CVS Young, Puncak Alam & Shah Alam.
Manakala bagi sesi perkongsian Al-Kitab pada malam itu, petikan diambil daripada Yohanes 6:51: “Akulah roti hidup yang turun dari Syurga. Sesiapa yang memakan roti ini akan hidup selamanya; dan roti ini, yang akan Aku tawarkan agar dunia dapat hidup, adalah daging-Ku.”
Meskipun tidak ramai peserta & fasilitator AKAYA-27 yang hadir pada malam itu disebabkan oleh masalah talian internet yang kurang baik, pihak penganjur melihat sambutan ini sebagai satu permulaan yang baik.
Memetik ucapan Maria Amella, koordinator belia KAYC, Karen berharap para belia mempunyai inisiatif sendiri untuk menganjurkan program bagi pembangunan rohani belia.
“Sekiranya tidak pasti bagaimana untuk mengembangkan atau merealisasikan idea anda, hubungi KAYC dan kami sentiasa terbuka untuk mendengar, bekerjasama atau berkolaborasi dengan para belia,” katanya.
Berikut adalah testimoni beberapa peserta dan penganjur program:
Saya berasa teruja, gembira kerana dapat berkumpul dan sharing dengan kawan-kawan dan para fasilitator yang telah lama tidak berjumpa. Ia mengingatkan saya semula kepada kenangan bersama ketika KAYA yang berbeza pada masa kini. Masa dua jam terasa tidak cukup, dan saya berharap akan ada lagi program seperti ini pada masa akan datang. – Basilica Laurentia Unie
Program ini membantu saya untuk mengingatkan semula langkah-langkah dalam perkongsian Injil, dan saya berharap AKAYA-27 dapat berkumpul semula untuk sesi seperti ini dan program lain. Kalian semua tetap manis dalam ingatan. Stay safe & stay home everyone. – Evalin Anak Dominic
Jauh di lubuk hati saya berkata, “Memang bagus, walaupun dalam keadaan pandemik ini, para pemuda pemudi masih dapat berkongsi Firman Tuhan dan pengalaman mereka”. Menerusi Firman Tuhan dalam Injil Yohanes 6:51, saya dapat merenungkan betapa laparnya saya akan makanan roti (Holy Eucharist) yang disediakan untuk saya, dan makanan roti itu memberi kehidupan selamanya, kerana gereja telah ditutup dan untuk berdoa di gereja adalah sesuatu yang sangat dirindukan, terutama sekali bila dapat menghadiri Misa dan memgambil bahagian dalam Ekaristi. Daripada perkongsian itu juga, kita tahu bagaimana situasi di tempat kawan kita masing-masing. Tuhan memberkati kita semua. Amen. – Sr Martina SSFS
Secara peribadi, perjumpaan ini sangat bererti kerana secara tidak sengaja, ia memberi saya ruang dan peluang bagi memperbaharui diri saya sendiri melalui perkongsian refleksi berdasarkan ayat daripada bacaan Injil pada malam itu. Perkongsian Injil merupakan aktiviti mingguan kami semasa di seminari tetapi setelah tamat pengajian di seminari, ini merupakan perkongsian yang pertama selepas kali terakhir kami melakukannya pada bulan April. Ini juga merupakan perkongsian pertama saya sebagai orang biasa dan bukan lagi sebagai seminarian. Aktiviti ini merupakan salah satu pengalaman yang baik kerana ia mengimbau kembali semua proses ini dan melakukan refleksi kendiri. – Br Henry Lawrence
Dalam kesempatan untuk sesi perkongsian Al-Kitab, saya menceritakan pengalaman saya bertugas sebagai seorang anggota tentera serta pelbagai cubaan yang saya hadapi, namun ianya tidak mematahkan semangat saya untuk tetap setia bersama Yesus. Saya membuat tanda salib dan berdoa sebelum memulakan tugas untuk dipermudahkan urusan saya. Begitu juga ketika berdoa sebelum makan. Saya harap iman Kristiani kita terus kuat. – Cassey Alban
Pengalaman saya, sangat best dapat berkumpul kembali walaupun tidak bersemuka. Ini baharu yang pertama. Mungkin ada kekurangan daripada pihak penganjur. Tetapi belajar daripada kesilapan dan akan ditambah baik lagi untuk What’s Up! AKAYA-27 yang akan datang. – Janne Frances Cabrini