Paus Francis gesa umat dapatkan suntikan vaksin COVID-19

Oleh Devin Watkins

KOTA VATIKAN — Paus telah menyokong seruan uskup-uskup dari Amerika Utara dan Selatan kepada umat untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Dalam satu mesej video yang dikeluarkan sempena Majlis Ad Limina, Paus Francis memuji usaha para penyelidik dan saintis untuk menghasilkan vaksin COVID-19 yang selamat dan berkesan.

“Berkat rahmat Tuhan dan usaha ramai, kita sekarang ada vaksin untuk melindungi diri kita daripada COVID-19,” katanya dalam video yang dikeluarkan pada Rabu lepas.

Beliau menambah vaksin “membawa harapan untuk menamatkan pandemik, tetapi hanya jika ia disediakan bagi semua dan jika kita bekerjasama dengan satu sama lain”.

Vaksinasi merupakan satu amalan kasih

Paus Francis seterusnya menyatakan bahawa mendapatkan suntikan COVID-19 “yang dibenarkan oleh pihak berkuasa masing-masing” adalah “satu amalan kasih”.

Membantu orang lain untuk melakukan perkara yang sama, katanya, juga merupakan satu amalan kasih. “Kasih bagi diri sendiri, kasih bagi keluarga dan rakan-rakan kita, dan kasih bagi semua orang. Kasih juga bersifat sosial dan politik,” katanya.

Paus itu menyatakan kasih sosial dan politik dibina menerusi “perbuatan kecil dan individu yang berupaya mengubah dan memperbaiki masyarakat”.

“Mendapatkan suntikan vaksin merupakan satu contoh yang mudah namun amat bermakna untuk menjaga satu sama lain, terutamanya golongan rentan,” ujarnya lagi.

Paus Francis kemudian berdoa kepada Tuhan agar “setiap daripada kami dapat melakukan amalan kasih kecil kami sendiri”.

“Tidak kira betapa kecil, kasih sentiasa besar,” katanya. “Perbuatan kecil bagi masa depan yang lebih baik.”

‘Kekuatan iman’

Paus disertai dalam video itu oleh beberapa orang kardinal dan uskup agung dari seluruh benua Amerika. 

Uskup Agung Jose Gomez, selaku presiden Sidang Uskup-uskup Katolik Amerika Syarikat dan juga Uskup Agung Los Angeles, meratapi penderitaan dan kematian yang telah diakibatkan oleh pandemik di seluruh dunia.

Beliau berdoa agar Allah “memberikan rahmat kepada kita untuk menghadapinya dengan kekuatan iman, memastikan bahawa vaksin ada untuk semua, supaya semua kita dapat menerima imunisasi”.

Kardinal Carlos Aguiar Retes dari Mexico mengaitkan suntikan vaksin COVID-19 dengan masa depan yang lebih baik untuk semua.

“Dari Amerika Utara ke Amerika Selatan, kami menyokong vaksinasi untuk semua,” kata kardinal itu.

Vaksin yang selamat dan berkesan

Kardinal Honduras Rodriguez Maradiaga berkata dunia ada banyak iktibar untuk diperoleh daripada koronavirus.

“Tetapi satu perkara adalah pasti: vaksin yang dibenarkan adalah berkesan, dan ia wujud untuk menyelamatkan nyawa,” katanya. “Ia adalah kunci kepada jalan penyembuhan peribadi dan sejagat.”

Kardinal Claudio Hummes dari Brazil memuji “usaha berani” golongan profesional kesihatan untuk membuat suntikan “yang selamat dan berkesan”.

Beliau turut mengulangi pengesahan Paus bahawa “mendapatkan suntikan vaksinasi adalah satu amalan kasih”.

Kardinal Gregorio Rosa Chavez dari El Salvador berkata vaksinasi membantu melindungi golongan paling lemah.

“Pilihan kita untuk mendapatkan suntikan vaksin memberi kesan kepada orang lain,” katanya, dan menambah ia adalah satu tanggungjawab moral.

Vatican News (Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Pope Francis urges people to get vaccinated against Covid-19

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.