Gereja Katolik merayakan kelahiran Bonda Perawan Maria pada tarikh tradisional yang ditetapkan iaitu 8 September, sembilan bulan selepas perayaan Kandungan Tanpa Noda Dosa (Immaculate Conception) sebagai anak Santo Yoakim dan Santa Anna pada 8 Disember.
Keadaan hidup Perawan Maria pada waktu bonda masih bayi dan pada awal hidup bonda tidak direkodkan secara nyata dalam Al-Kitab, tetapi dokumen lain dan tradisi yang menceritakan tentang keadaan di sebalik kelahiran bonda disebut oleh beberapa penulis Kristian terawal dari abad-abad pertama Gereja.
Tulisan-tulisan tersebut, walaupun tidak dianggap memiliki kuasa seperti Al-Kitab, menggariskan beberapa kepercayaan tradisional Gereja tentang kelahiran Maria.
‘Protoevangelium Yakobus’, yang mungkin diletakkan dalam bentuk bertulis secara muktamad pada awal abad kedua, menggambarkan bapa Maria, Yoakim, sebagai seorang anggota kaya dalam satu daripada 12 suku kaum Israel. Yoakim amat susah hati, sama seperti isterinya Anna, kerana mereka tidak ada anak.
“Dia mengingati Abraham,” tulisan Kristian awal itu menyebut, “bahawa pada hari terakhir, Allah memberikan kepadanya seorang anak lelaki Ishak”.
Yoakim dan Anna mula mengabdikan diri dengan bersungguh-sungguh dan setia kepada doa dan puasa, pada mulanya tertanya-tanya sama ada kegagalan mereka untuk melahirkan anak mungkin adalah tanda bahawa Allah tidak senang hati dengan mereka.
Bagaimanapun pasangan itu ternyata akan diberkati jauh lebih besar berbanding Abraham dan Sarah, apabila seorang malaikat memberitahu Anna ketika dia menjelma kepada Anna dan bernubuat bahawa semua generasi akan memberi penghormatan kepada anak mereka yang bakal dilahirkan: “Tuhan sudah mendengar doa kamu, dan kamu akan mengandung, dan akan melahirkan, dan benih kamu akan disebut-sebut di seluruh dunia.’
Selepas kematian Maria, menurut ‘Protoevangelium Yakobus’, Anna “membuat santuari” dalam bilik bayi perempuannya, dan “tidak membenarkan apa-apa pun yang biasa-biasa mahupun tidak bersih” kerana kesucian anaknya.
Tulisan yang sama merekodkan bahawa, apabila Maria berusia setahun, bapanya “mengadakan perayaan besar, dan menjemput para imam, dan orang bijak pandai, dan para ketua, dan semua rakyat Israel”.
“Dan Yoakim membawa anaknya kepada para imam,” tulisan itu menambah, “dan mereka memberkatinya, dengan berkata, ‘Ya Allah bapa-bapa kami, berkatilah anak ini, dan berikanlah kepadanya nama yang kekal abadi dan akan disebut-sebut dalam semua generasi’. Dan dia membawa anaknya kepada ketua-ketua imam, dan mereka juga memberkatinya, sambil berkata: ‘Ya Allah Maha Tinggi, lihatlah anak ini, dan berkatilah dia dengan keberkatan terbesar, yang akan kekal buat selama-lamanya’.”
‘Protoevangelium’ itu seterusnya menceritakan bagaimana ibu bapa Maria, bersama para imam dari bait, seterusnya memutuskan bahawa Maria akan diserahkan kepada Allah sebagai seorang perawan yang dikonsekrasikan hingga akhir hayatnya, dan mengadakan perkahwinan yang suci dengan si tukang kayu Yosef.
Santo Augustine menggambarkan kelahiran Bonda Perawan Maria sebagai satu peristiwa yang mempunyai makna kosmik dan bersejarah, dan awalan yang sewajarnya kepada kelahiran Yesus Kristus: “Dia adalah bunga di padang dari mana mekarnya bunga teratai di lembah.”
Uskup abad keempat itu, ahli teologi yang begitu mempengaruhi kefahaman Gereja Barat tentang dosa dan sifat manusia, mengesahkan “menerusi kelahirannya, sifat yang diwaris dari ibu bapa pertama kita berubah”.
CNA (Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: The Nativity of the Blessed Virgin Mary