Oleh Ivy Chai
Pusat Home of Peace (Rumah Harapan) yang terletak di Jalan Landeh, Batu 10, Kota Padawan, merupakan sebuah Rumah bagi warga emas yang dibina oleh ‘Catholic Welfare Services Council Sarawak’ (CWS) atau Majlis Perkhidmatan Kebajikan Katolik Sarawak. Rumah ini diurus oleh perkumpulan ‘Sisters of St Francis of Sarawak’ (SSFS).
Home of Peace ditubuhkan pada 2009 sebagai sebuah Rumah untuk orang miskin dan destitute tanpa mengira kaum, agama atau kepercayaan. Bagaimanapun, dengan pengembangan dan pembukaan Fasa 2 pada 2019, ia sekarang menerima permohonan daripada pesara yang mempunyai pencen bulanan, selain warga emas yang dapat memberi sumbangan kepada kos penyelenggaraan dan operasi Rumah itu.
Dalam satu temu ramah dengan Sister Ursula Lian, Matron Rumah, beliau menyuarakan rasa terkejut kerana selepas 12 tahun, ramai orang yang masih tidak tahu tentang kewujudan Rumah itu.
“Mereka hanya tahu ketika mereka mencari tempat untuk meletakkan ibu bapa mereka yang sudah tua. Malah orang Katolik sendiri tidak tahu kita ada Rumah Katolik untuk warga emas,” katanya.
Para Penghuni
Sekarang terdapat 34 orang penghuni, yang mana tiga terlantar di katil dan 13 menggunakan kerusi roda. Ada yang menghidap demensia atau kenyanyukan dan memerlukan penjagaan.
Sebuah pasukan yang dianggotai 23 kakitangan dan Sister Eunicia membantu Sister Ursula untuk menjaga para penghuni.
“Saya sangat gembira kerana semua mereka adalah orang- yang sangat komited, boleh diharapkan dan bertanggungjawab. Itu adalah sesuatu yang menyenangkan saya secara peribadi. Saya mengucapkan syukur kepada Allah untuk itu,” katanya.
“Zaman sekarang adalah mencabar, dan dengan lebih ramai orang yang memohon untuk memasuki Rumah ini, kita mungkin perlu meningkat jumlah kakitangan untuk melayani Rumah ini dan para penghuninya.”
Sister Ursula berkata para penghuni Rumah dijaga dengan baik, terutamanya dari segi keperluan jasmani dan rohani.
“Mereka sangat setia kepada kehidupan doa mereka. Mereka berdoa setiap hari, dengan doa Rosari pada waktu pagi dan doa Kerahiman Ilahi selepas tengah hari. Mereka memanjatkan doa istimewa terutamanya bagi ‘Friends and Benefactors of Hope’ (Rakan dan Penderma Harapan), penderma, kakitangan, uskup, paderi dan malah bagi mereka yang meminta doa-doa mereka. Disebabkan oleh pandemik COVID-19, mereka tidak dapat menghadiri Misa fizikal, tetapi mereka tidak pernah tidak menyertai Misa strim langsung setiap Ahad dan setiap kali ada hari raya atau Misa strim langsung untuk orang sakit, sama ada dari Gereja St Ann atau Katedral St Joseph.”
PAVILION
Sr Ursula berharap Pavilion (Astaka) yang dibina pada 2015 dapat dibina semula dan digunakan untuk perkara yang lebih baik. Beliau berkata ia dapat diubah untuk dijadikan sebuah kawasan serbaguna.
“Ia boleh digunakan sebagai sudut rekreasi para penghuni dengan TV, di mana mereka dapat berehat sambil minum kopi/teh di sana, pada waktu yang sama jururawat dapat memeriksa tekanan darah dan TPR mereka di sana juga, kerana kawasan jururawat sekarang terlalu kecil dan sesak,” katanya.
Sr Ursula mencadangkan agar Pavilion itu juga dapat menempatkan tandas tambahan bagi kesenangan para penghuni yang sering mengalami keadaan tandas yang tidak mencukupi dalam bilik-bilik mereka.
‘Friends of Hope’
Menurut Sr Ursula, Rumah itu kini sedang menghadapi kekangan kewangan selepas tidak ramai lagi orang yang tampil dengan sumbangan disebabkan oleh pandemik.
“Sekarang kami hanya ada beberapa penderma tetap sahaja, dan dermawan. Puji Tuhan, kita ada ‘Friends of Hope’ (Rakan-rakan Harapan), kalau tidak bagaimana untuk meneruskan kehidupan? ‘Friends of Hope’ sekurang-kurangnya memberikan bantuan kepada kami. Saya sangat menghormati mereka. Saya harap dan merayu agar ramai lagi orang tampil untuk mendaftar diri sebagai ‘Friends of Hope’.”
‘Friends of Hope’ merupakan satu program kesinambungan yang dilancarkan oleh Rumah itu pada tahun lepas (Mei 2020) di kemuncak pandemik COVID-19 yang menyebabkan penurunan kutipan yang mendadak bagi Rayuan Tahunan Musim Lent CWS.
Untuk membantu dengan kos operasi Rumah itu, penderma mendaftar diri untuk sama ada menyumbang jumlah bulanan minimum sebanyak RM100 atau membuat sumbangan tahunan.
Anggaran perbelanjaan operasi keseluruhan sekarang bagi Rumah itu sebanyak RM50,000 sebulan. Program ‘Friends of Hope’ telah mengutip RM506,755 sejak pengenalannya sehingga 30 Jun 2021.
Buat masa sekarang, terdapat beberapa bahagian bangunan utama yang perlu diperbaiki dan diselenggara, terutamanya bumbung, siling dan pancur. Apabila hujan lebat turun, “anda dapat melihat kebocoran di mana-mana”, kata Sr Ursula.
Beberapa utiliti juga memerlukan perhatian segera, seperti paip, tandas, singki, lampu dan kerusi roda. Malah pemotong semak dan mesin basuh perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.
Sr Ursula menyuarakan kesyukurannya kepada semua rakan-rakan Harapan.
“Saya memberi jaminan bagi doa-doa saya untuk anda. Saya terutamanya berdoa agar Allah memberkati anda dan anggota keluarga anda dengan kelimpahan, dan semoga semua kita dilindungi daripada kemudaratan dan bahaya, terutamanya daripada COVID-19. Terima kasih dan Allah memberkati.”
Untuk maklumat lanjut tentang ‘Home of Peace’ dan bagaimana untuk mengambil bahagian sebagai ‘Friends of Hope’, anda dapat menghubungi Sr Ursula Lian di talian 018-2401337, 014-3942425 (pejabat).
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: CWS Home of Peace: Home for the elderly needs your support