Professio ad hostiam – Ikrar Kaul Abadi bagi Fr Alvin Ng, SJ dan Fr Francis Lim, SJ

SAYA BERIKRAR … Fr Francis berlutut di hadapan hos Ekaristi sambil melafazkan ikrar kaulnya. (Foto: MAS Communications)

Oleh MAS Communications

KUCHING — Pada 31 Julai 2021, yang merupakan hari raya St Ignatius Loyola, disebabkan oleh sekatan akibat COVID-19, tidak ramai orang menghadiri Misa Ikrar Kaul Abadi bagi Paderi-paderi Jesuit, Alvin Ng dan Francis Lim. Bagaimanapun ramai penonton mengambil bahagian dalam Misa strim langsung itu.

Pemimpin Misa, Fr Stanley Goh, SJ menerima ikrar kaul mereka. Beliau diwakilkan oleh Ketua Wilayah Malaysia-Singapura (MAS), Fr Chris Soh, SJ yang seterusnya mewakili Ketua Bapa ‘Society of Jesus’. Fr Chris tidak dapat datang ke Kuching disebabkan oleh sekatan perjalanan akibat pandemik sekarang.

Seperti semua ikrar kaul Jesuit, ia dilakukan professio ad hostiam (ikrar di hadapan hos Ekaristi). Ikrar itu dibuat oleh Fr Alvin dan Fr Francis, ketika hos ditunjukkan oleh pemimpin Misa sejurus sebelum beliau menyambut komuni. Selepas itu baharulah mereka berdua menerima komuni.

SAYA JUGA BERIKRAR … Fr Alvin melafazkan ikrar kaulnya ketika Fr Stanley, yang mewakili Ketua Wilayah, mengangkat hos Ekaristi sejurus sebelum komuni. (Foto: MAS Communications)

Professio ad hostiam

Ketika Ignatius dan sahabat-sahabatnya membuat ikrar terakhir mereka di Basilika St Paul-Outside-the-Walls pada 22 April 1541, mereka menggunakan upacara yang berbeza sama sekali dan ia kemudian dimasukkan ke dalam Konstitusi ‘Society of Jesus’.

Upacara ini digunakan untuk kedua-dua ikrar kaul pertama dan kaul terakhir. Upacara itu berbeza daripada upacara ikrar biasa pada ketika itu, malah sehingga ke hari ini.

Ia bukan professio super altare atau professio in manus, tetapi professio ad hostiam untuk menandakan bahawa ia bukan perkumpulan biara yang stabil mahupun perkumpulan religius pengemis. Ia merupakan perkumpulan apostolik dengan aspek kontemplatif.

Professio super altare

Ikrar kaul di atas altar adalah upacara biara. Sewaktu upacara penyampaian pemberian, novis mula-mula melafazkan secara lisan janjinya dengan memberikan komitmen kepada kestabilan biara, pembaharuan hidup, dan amalan ketaatan. Kemudian dia meletakkan di atas altar permintaannya yang merupakan satu dokumen yang ditulis dengan tangannya sendiri yang akan menjadi bukti bagi janjinya dan keinginannya untuk memasuki dan membentuk sebahagian daripada biara itu. Pada hujung Misa, ketua biara mengambil permintaan tadi dari altar dan membawanya keluar sebagai tanda penerimaan janji novis yang baharu melafazkan ikrar kaul itu.

Professio in manus

Ikrar kaul ke dalam tangan diilhamkan oleh pemberian penghormatan oleh orang bawahan kepada tuannya pada zaman feudal di Eropah. Ia diguna-pakai oleh perkumpulan religius pengemis pada abad ke-13, contohnya perkumpulan Dominikan dan Fransiskan. Ikrar kaul di atas altar ditinggalkan oleh golongan religius pengemis kerana mereka tidak memberi ikrar kepada kestabilan biara. Sebaliknya, mereka dikenali sebagai ‘mendicants’, iaitu religius yang mengemis.

Sambil berlutut di hadapan ketua, novis menyatukan tangannya dan ketua mengambilnya dengan kedua-dua tangannya sendiri. Dalam postur tunduk ini, dia melafazkan ikrar kaul dan kemudian ketua memberikannya ciuman kedamaian.

Unsur utama di sini adalah penyatuan tangan novis dengan tangan ketuanya, yang menandakan komitmen bagi penundukan peribadi kepada ketua utama.

Makna professio ad hostiam

Dari sudut pandangan mistik dan rohani, si Jesuit yang melafazkan ikrar kaul melafazkan ikrar kaulnya kepada hadirat sebenar (real presence) Yesus Kristus dalam Sakramen Maha Kudus. Golongan Jesuit diseru untuk mengikut Yesus Kristus dengan dekat, dan perkumpulan mereka dikenali dengan Nama-Nya yang kudus. Maka itu, golongan Jesuit melafazkan ikrar kaul mereka di hadapan-Nya yang memiliki Nama yang menjadi pengenalan mereka.

Komuni menyusul dengan nilai pengesahan, satu ratifikasi, mohor suci yang dicopkan oleh Kristus ke atas komitmen yang telah dibuat oleh si pelafaz kepadanya.

Dengan komuni ini, sejenis perjanjian dibuat di antara Allah dalam Sakramen Maha Kudus, perkumpulan itu menerusi ketua yang mengangkat hos, dan si pelafaz.

Dengan memberi Ekaristi kepada si pelafaz, ketua menunjukkan bahawa dia menerima ikrar kaulnya dan menerimanya ke dalam komuni bersama dirinya sendiri dan perkumpulan.

Dengan menghadiahkan diri-Nya sendiri, Kristus menjanjikan kepada si pelafaz kekuatan-Nya supaya dia setia kepada komitmen yang dia baharu sahaja buat. Dengan menerima Kristus, si pelafaz mempersembahkan dan memberi diri kepada Allah.

Ikrar Kaul Abadi atau Ikrar Kaul Terakhir

Bagi golongan Jesuit, ikrar kaul pertama yang dibuat pada hujung novisiat sudah dianggap abadi; kerana keperluan tiada bagi pembaharuan dari semasa ke semasa. Maka itu, apakah ikrar kaul terakhir yang dibuat oleh Fr Alvin dan Fr Francis baru-baru ini?

Bagi ikrar kaul pertama (juga dipanggil ikrar kaul abadi sederhana), si Jesuit menyerahkan diri tanpa syarat kepada ‘Society of Jesus’ manakala perkumpulan itu menerimanya dengan syarat. Ini bermakna seorang Jesuit dapat dihentikan dengan mudah sebelum ikrar kaul terakhir.

Bagi ikrar kaul terakhir untuk ‘Brothers’ atau Koadjutor Rohani, atau ikrar kaul abadi bagi si Jesuit yang membuat lafaz sepenuhnya, si Jesuit yang telah memberikan diri tanpa syarat kepada ‘Society of Jesus’ diterima tanpa syarat juga oleh perkumpulan itu.

Ini adalah sebabnya kenapa ikrar kaul terakhir berlaku bertahun-tahun selepas pentahbisan paderi Jesuit. Selepas tempoh percubaan selama bertahun-tahun, ketua dapat tidur nyenyak dengan pendapat bahawa dia dapat meninggalkan ‘Society of Jesus’ di dalam tangan yang baik apabila seorang Jesuit khusus diterima ke dalam ikrar kaul terakhir.

Fr Alvin bersyukur bagi ikrar kaul terakhirnya; beliau berkata, “Saya rasa rendah diri dan bersyukur bagi pemberian ikrar kaul terakhir dalam ‘Society of Jesus’.”

Bagi Fr Francis pula, beliau puas hati bahawa “ikrar kaul terakhir merupakan rentetan bagi kehidupan saya yang semula jadi di dalam ‘Society of Jesus’”.

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Professio ad hostiam – Solemn Perpetual Vows of Fathers Alvin Ng, SJ and Francis Lim, SJ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.