Bersyukur atas Cinta Kasih dan Rahmat Tuhan

Sebuah testimoni dari Jacob, banduan hukuman mati di Penjara Sibu

“Lampu yang menyinari kesuraman dalam penjara”

Testimoni berikut ditulis oleh Jacob Tiang, merupakan banduan yang dihukum mati kerena disabitkan dengan pembunuhan. Melalui rahmat Tuhan, kakak sulung-nya, sister Lena yang menjenguknya di Penjara Sibu, dapat memimpin-nya kembali kepada Tuhan. Gambaran-gambaran yang digambarkan di sini adalah tulisan dan lukisan-lukisan asal dia.


11 Februari 2020

Saudara-saudari yang saya kasihi dalam Kristus,

Kisah Injil berikut telah mendorong saya untuk membahagikan kesaksian saya dan sedikit cerita tentang kehidupan saya. Yesus menyatakan dalam Matius 9:12–13 bahawa orang yang sihat tidak memerlukan doktor tetapi orang yang sakit. Dia telah datang bukan untuk memanggil orang benar tetapi orang berdosa untuk bertaubat.

Nama saya adalah Jacob Aaron Tiang Lee Yee. Saya berusia 50 tahun. Saya telah disabit kesalahan atas tuduhan membunuh dalam kejadian keluarga berpakat membunuh diri yang tragis di Pulau Li Hua, Sibu, pada 2013.

Saya dibaptis di Gereja St Mary, Sibu, ketika saya berusia 16 tahun (1986) dan seterusnya menerima Sakramen Penguatan pada tahun berikutnya. Saya tidak mendapatkan pengajian tinggi kerana saya tidak memahami kepentingan pendidikan dan, selepas saya gagal teruk dalam peperiksaan SPM, saya tidak ada minat langsung untuk melanjutkan pengajian.

Saya perlu mengakui dengan malunya bahawa saya sekadar Kristian dalam nama sahaja. Malah saya tidak tahu apa maksudnya untuk dibaptis. Sejujurnya, saya tidak begitu tahu apa yang sedang diajar di dalam Kelas Pembaptisan di SMK Sacred Heart. Saya dipaksa menghadiri kelas oleh guru Bahasa Inggeris saya, Bro Hillary dari Scotland, kerana saya ketika itu adalah seorang pelajar yang nakal dan suka melawan. 

Namun sekarang, apabila saya mengimbau kembali, saya menyedari bahawa saya telah menjadi seorang Kristian kerana kasih Tuhan hidup yang tiada batas dan kerana belaskasihan-Nya menerusi sakramen-sakramen, walaupun saya tidak tahu ketika itu apa maksudnya untuk dibaptis dan dikuatkan. Tiada perubahan berlaku kepada saya selepas pembaptisan dan penguatan. Saya masih jahat dan nakal dan suka melawan seperti sebelumnya dan tidak menyedari bahawa sikap buruk saya telah menyebabkan saya berdosa dan berada jauh dari hadirat Tuhan.

Namun puji Tuhan, Allah yang hidup dengan kasih yang tiada batas, tiada sempadan. Dia begitu sabar dengan saya selama 28 tahun yang lalu ketika saya hidup sebagai orang buangan. Begitu banyak perkara buruk yang telah berlaku kepada saya, dan saya akhirnya meringkuk di dalam penjara.

Dalam penjara, saya menghabiskan kebanyakan waktu membaca Al-Kitab. Pada mulanya, saya membaca Al-Kitab untuk memenuhi masa kerana saya sangat bosan. Namun apa yang mengejutkan, saya mula rasa sangat berminat dengannya dan mula membacanya dengan pemahaman yang lebih mendalam.

Tuhan tidak pernah meninggalkan saya. Sesungguhnya, Dia telah mengutuskan seorang gembala kepada saya, iaitu kakak saya, Lena. Dia tidak pernah berputus asa dengan saya, walaupun saya telah disabit kesalahan sebagai seorang pembunuh. Al-Kitab yang saya baca adalah pemberian daripadanya dan dia memberikan saya banyak buku keagamaan dan memberikan pencerahan kepada saya tentang penyelamatan Tuhan.

Kemudian saya menyedari bahawa segalanya yang telah berlaku berada di dalam tangan Tuhan. Segalanya bergantung, bukan kepada apa yang kita manusia inginkan atau buat, tetapi hanya kepada kerahiman atau belaskasihan Tuhan.

Dalam Keluaran 33:19, Allah berkata kepada Musa, “Aku akan berbelaskasihan ke atas orang yang Aku berbelaskasihan.” St Paulus dalam Galatia 1:15 menyebut, “Namun Allah dalam rahmat-Nya telah memilih aku sebelum aku dilahirkan, dan memanggil aku untuk melayani-Nya.” Dalam Kitab Ulangan 30:19, Allah menyatakan, “Aku menyeru kepada langit dan bumi untuk menjadi saksi terhadap kamu pada hari ini bahawa Aku telah meletakkan di hadapan kamu kehidupan dan kematian, keberkatan dan kelaknatan. Pilihlah kehidupan supaya kamu dan keturunan kamu dapat hidup.” Dalam Kitab Pengkhutbah 3:1, Allah berkata segalanya ada musim, dan masa untuk setiap perkara di bawah langit.

Doa:

Bapa Syurgawi, aku memuji-Mu kerana kasih-Mu yang mutlak bagiku, walaupun aku adalah seorang manusia yang berdosa. Kasih-Mu adalah lebih agung dan lebih tinggi daripada gunung paling tinggi. Kerana kasih-Mu, Engkau telah memilih apa yang dunia anggap sebagai bodoh untuk memalukan orang yang bijaksana, dan orang lemah untuk memalukan orang yang kuat. Engkau telah memilih orang biasa dan tidak signifikan untuk menundukkan orang kuat, agar tidak ada manusia yang boleh bercakap besar di hadapan-Mu.

Aku memuji-Mu, Tuhan, kerana Engkau bersama aku sejak 28 tahun yang lalu. Engkau tidak pernah berputus asa dengan Aku, walaupun aku malu di hadapan-Mu. Kerana kasih-Mu yang Maha Rahim, Engkau telah mengutuskan Fr Ravi untuk mendengar pengakuan dosaku dan menerusi Sakramen Perdamaian, Engkau telah mengampuni dosa-dosaku, dan menerusi Ekaristi, menerusi Tubuh dan Darah Yesus, aku telah ditebuskan dan disatukan semula dengan-Mu.

Bapa Maha Penyayang, berkatilah aku senantiasa dengan kebijaksanaan dan pengetahuan untuk memahami Firman-Mu supaya aku dapat menyampaikan Sabda-Mu untuk menyelamatkan dunia fana yang kami diami ini.

Penuhilah aku dengan Roh Kudus-Mu agar dengan bimbingan-Nya, laluan aku akan menjadi terang. 

Amen.

Jacob Aaron Tiang Lee Yee (Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: Giving Thanks for God’s Love and Mercy

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.