Pemulihan Blok Mill Hill SJS disokong Kerajaan Negeri

Oleh Ivy Chai

KUCHING — Projek Pemulihan Blok Mill Hill Sekolah St Joseph (SJS) untuk memulihkan Bangunan Warisan yang ikonik dan sudah diwartakan itu, bersama dua sayap penyambungnya, baru-baru ini menerima bantuan sebanyak RM2.5 juta dari Kerajaan Negeri Sarawak.

Rancangan bagi projek pemulihan itu bermula pada 2018, dan tapaknya telah diserahkan kepada kontraktor pada Ogos 2020. Bagaimanapun kutipan dana bagi projek itu menghadapi rintangan pada tahun lepas disebabkan oleh pandemik COVID-19.

Memeriksa kemajuan kerja pemulihan.

Menerusi rayuan yang dibuat kepada bekas-bekas pelajar dan penyokong oleh Lembaga Pengurusan Sekolah dan Persatuan ‘Old Josephians’ (OJA), mereka telah berjaya mengumpul kira-kira RM3 juta. Ini bermaksud kekurangan kira-kira sebanyak RM2.5 juta.

Pada 3 Februari 2021, Lembaga Pengurusan telah menerima geran kerajaan yang mujur mencukupi untuk menampung kekurangan bagi projek bernilai RM5.5 juta itu. 

Uskup Agung berkongsi kandungan ‘Icon of Change’, sebuah buku cenderamata Katedral St Joseph yang kini sedang menjalankan pengubahsuaian.

“Pada hari ini, kita bersyukur kepada Kerajaan Sarawak di atas RM2.5 juta yang disampaikan oleh Ketua Menteri kita, YAB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, yang merupakan ‘Old Boy’ (bekas pelajar) dari Kelas Tingkatan Enam Atas pada 1970,” kata Uskup Agung Simon Poh yang merupakan Penaung Lembaga Pengurusan St Joseph.

Uskup Agung turut menyuarakan keperluan untuk melengkapkan kerja pemulihan yang siap, seperti meja panjang, kerusi dan meja pelajar, alat bantuan pembelajaran, komputer dan peralatan bagi bilik kelas, selain kos lain.

“Sebagai seorang ‘Old Boy’, saya mengambil kesempatan ini untuk merayu kepada ‘Old Boys’ (dan ‘Old Girls’ dari Tingkatan Enam) agar memainkan peranan untuk ‘alma mater’ kita, St Joseph, dan menjadi sebahagian daripada legasi yang memulihkan Blok Mill Hill Sekolah St Joseph dan Sayap-Sayap Bilik Kelas/Asrama.

“Sama seperti kita telah diberkati dengan pendidikan dari Sekolah St Joseph, marilah kita memberi dan terus memberkati generasi ‘Josephians’ pada masa depan,” kata Uskup Agung Simon (Kelas Tingkatan 5 pada 1980).

Replika cek bagi RM2.5 juta itu disampaikan kepada pemangku pengerusi bagi Projek Pemulihan Mill Hill, Christopher Chua, ketika beliau mengetuai delegasi kecil untuk melakukan lawatan hormat kepada Ketua Menteri di pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia. 

(Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: SJS Mill Hill Block Restoration gets boost from State Government

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.