Perjalanan Iman Saya

Katekumen di Gereja Blessed Sacrament, BDC pada 19 Disember 2020.

Kesaksian katekumen dari RCIA 2019/2020 yang berjaya menyiapkan kursus selepas lama tertangguh disebabkan oleh pandemik.


Felicia Thecla Ang Ee Lee

RCIA sesi 2019/2020 baharu sahaja selesai. Saya akhirnya dibaptis, disahkan dan menerima Ekaristi Maha Kudus pada 19 Disember 2020 setelah menunggu dengan gelisah selama 18 bulan! Ini disebabkan oleh PKP (COVID-19).

Menerusi kelas-kelas RCIA, saya banyak menimba ilmu pengetahuan tentang Tuhan. Saya mengucapkan terima kasih dan rasa syukur yang tulus ikhlas kepada fasilitator dan katekumen lain.

Selepas mendengar ceramah mengenai kehidupan Yesus Kristus, saya mendapati diri semakin rapat dengan-Nya. Akhirnya, pada 19 Disember 2020, saya dilahirkan semula dalam Kristus dengan diselubungi rasa amat rendah hati, kerana saya tahu saya menjadi anak yang diangkat oleh Tuhan.

Seperti semua manusia biasa, saya dilahirkan dengan dosa asal, dan dalam pembaptisan, saya muncul tanpa noda dosa seperti dilambangkan oleh baju putih yang saya pakai.

Apabila saya menjalani kehidupan selepas pembaptisan, saya pasti saya akan tersandung dari semasa ke semasa dan tersungkur. Bagaimanapun, kekuatan iman saya kepada Yesus Kristus akan sentiasa memberi jaminan kepada saya bahawa Dia berjalan bersama saya. Saya tahu Dia sentiasa bersedia untuk mengangkat saya semula. Saya hanya perlu menyantuni-Nya dengan hati yang menyesal.

Felicia Thecla Ang Ee Lee (Terjemahan)


Isabelle Alvy Chai

Ketika saya kecil, ibu saya selalu mengajar saya tentang Tuhan. Ya, beliaulah yang memberi inspirasi kepada saya untuk mempercayai Tuhan dan lebih mengenali-Nya.

Menerusi kelas RCIA ini, saya menyedari bahawa pengetahuan tentang Tuhan tiada kesudahannya. Dari sini, saya telah mempelajari banyak nilai moral dan terutamanya kehidupan seorang Kristian. Setiap kali, saya mendapat pencerahan dan menerima inspirasi daripada cerita-cerita yang dikongsikan oleh fasilitator.

Ia tidak pernah terlalu lambat untuk mengenali Tuhan dari sekarang dan saya diberkati kerana saya ada Tuhan bersama saya. Bagi saya, ini bukan penamat tetapi permulaan perjalanan baharu bersama Kristus dalam hidup saya. 

Isabelle Alvy Chai (Terjemahan)


Boniface Jolliffe Anak Nicholas Muya

Saya dibesarkan dalam Gereja Anglikan dan dibaptis pada usia muda. Isteri saya pula lahir di dalam iman Katolik. Kami berkahwin dalam Gereja Katolik di Katedral St Joseph, Kuching.

Ketika saya memulakan proses RCIA pada awal 2020, saya ada serba sedikit pengetahuan mengenai Gereja Katolik kerana saya telah menghadiri Misa setiap Hari Minggu bersama keluarga saya dan membaca Al-Kitab saya setiap hari. Penaja saya dan isterinya, yang juga ibu bapa rohani (godparents) kepada anak-anak saya, memainkan peranan amat penting dalam perjalanan saya untuk diinisiasi sepenuhnya ke dalam Gereja Katolik pada hujung 2020.

Di setiap kelas RCIA, saya belajar tentang Yesus, Al-Kitab dan Gereja. Saya diperkenalkan kepada pelbagai bentuk doa, meditasi dan cara untuk berkomunikasi dengan Allah. Saya belajar selanjutnya tentang sejarah kepercayaan kita, kehidupan dan ajaran Yesus serta penderitaan yang Dia tanggung demi kita. Saya belajar tentang Misa, Injil, Ekaristi, anugerah-anugerah Roh Kudus, dan Sakramen-Sakramen lain. Saya juga belajar apa maksudnya untuk menjadi anggota komuniti Gereja Katolik dengan menghadiri Misa setiap minggu serta bergiat aktif dalam gereja.

Kepercayaan saya sentiasa berkembang dan diubah oleh kuasa Roh Kudus, dan saya ada begitu banyak perkara untuk dipelajari daripada orang lain di mana setiap pengalaman dengan perjalanan iman orang lain menambah sesuatu yang baharu kepada perjalanan saya sendiri. Saya amat percaya bahawa membantu orang lain dalam perjalanan mereka adalah satu pengalaman yang amat memuaskan hati.

Boniface Jolliffe Anak Nicholas Muya (Terjemahan)


Berita dalam Bahasa Inggeris: My Journey of Faith

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.