Ia mungkin pada awal bulan Disember apabila Diana, orang kanan dan kiri saya dalam kerja bersama kerasulan kepada para pendatang, mengatur rancangan bersama saya untuk mendengar pengakuan dosa para pendatang di Sejingkat, sebuah kawasan perindustrian di pinggiran Kuching.
Maka itu, pada petang 22 Disember, saya mendapati diri dipandu oleh Diana ke salah sebuah kilang papan di mana ramai pekerja pendatang ditempatkan. Hujan lebat dan beribut berlaku pada malam itu, yang sedikit menakutkan kerana lampu jalan tidak ada dan laluan dari jalan utama ke kilang papan yang dituju adalah lebih umpama kolam lumpur.
Kami meredah kelopak air setinggi paras buku lali selama 20 minit untuk sampai ke tempat yang dituju. Dan semua itu dengan menggunakan lampu suluh yang sangat kecil, hampir sekecil pemetik api rokok. Kami kerap tersandung tetapi pada akhirnya, kami sampai juga ke destinasi dalam keadaan basah kuyup dan dikotori lumpur tetapi selamat, ternyata bukan masa dan tempat untuk dituju dengan jubah putih seperti apa yang dituntut daripada kami apabila memberi sakramen-sakramen.
Namun perjalanan kami yang kurang menyenangkan ternyata berbaloi; apa lagi yang lebih dialu-alukan daripada melihat semua orang menunggu ketibaan kami? Bagaimana mungkin saya tidak tersentuh hati selepas mendapati mereka telah membuat sebuah tempat duduk khas sementara supaya saya dapat mendengar pengakuan dosa dengan bergaya dan selesa?!
Diana mengajar katekisme, dan rancangan kita adalah, sementara beliau menjalankan tugasnya, saya pula akan mendengar pengakuan dosa para hadirin.
Setengah jam pertama berjalan dengan cukup lancar; mereka tahu doa-doa mereka dan itu sentiasa memudahkan lagi usaha. Tiba-tiba seseorang mengetuk bahu saya dan berkata kepada saya dengan suara yang sangat mendesak, “Tolong Father, ikut saya, anda diperlukan” … Saya rasa tidak senang hati sedikit kerana pengakuan dosa terganggu secara tiba-tiba …
Saya tidak tahu ke mana lelaki yang sangat tergesa-gesa itu mahu membawa saya dan kerana tidak tahu apa tujuannya, saya menjadi semakin jengkel. Kami berjalan-jalan di atas papan-papan yang bergoyang untuk pergi dari satu tempat ke tempat lain, melintasi banyak bilik kecil dan saya rasa seakan-akan ia tidak ada penghujung.
Dan kemudian ia berlaku. Saya mendengar seseorang menangis dengan lembut, tetapi semakin kami dekat, saya menyedari ia bukan tangisan biasa seseorang dalam kesakitan.
Kami mengetuk pintu, dan saya tidak percaya apa yang saya lihat; di sana ada seorang wanita hamil yang mengalami kesusahan untuk melahirkan bayi dalam kandungannya. Bersamanya di sana adalah dua orang wanita yang membantunya tetapi seakan-akan tidak tahu apa untuk dibuat. Kepala bayi dapat kelihatan tetapi si ibu kini sudah beberapa jam berusaha untuk melahirkannya, dan tidak ada tenaga lagi untuk meneran, satu situasi yang benar-benar mendesak tanpa doktor atau jururawat.
Nak buat apa? Berlutut dan berdoa, serbu syurga, dan terus-menerus mengetuk pintunya. Percayalah kepada saya, pada malam itu saya berdoa tidak seperti saya berdoa sebelum itu. Saya rasa tidak berupaya dan tidak ada harapan: ia adalah sesuatu dari satu mimpi ngeri di mana penyelesaian tidak ada.
Dua puluh minit di atas lutut saya yang separuh terbenam di dalam air dan separuh di atas sekeping papan lapis, jauh ‘seribu tahun’ dari katil hospital yang bersih dan dikelilingi jururawat serta mempunyai air yang suam dan bersih. Semua itu tiada langsung.
Saya terfikirkan Betlehem … adakah ia seperti itu? Adakah ia lebih baik lagi, adakah ia lebih buruk lagi?
Saya menyuruh kedua-dua wanita itu untuk terus berdoa dan saya kembali ke tempat pengakuan dosa saya yang sementara, dalam keadaan lesu sama sekali dan meminta semua mereka untuk terus menyebut doa rosari.
Dua jam kemudian, apabila sesi pengakuan dosa selesai dan kami duduk sambil minum kopi yang sangat manis dan makan biskut, saya tiba-tiba melihat dua wanita yang berada di dalam bilik tadi masuk bersama si ibu, dan salah seorang daripada mereka menggendung bayi yang enggan dilahirkan.
Si bayi dibungkus dengan kain balutan, bersih dan berbau seperti sewajarnya bagi seorang bayi. Tidak dapat dipercayai, hebat sekali, dan anda dapat bayangkan bahawa semua kami begitu gembira sekali, memuji Allah dan bertepuk tangan, sambil bersukacita. Ya, Betlehem dilawati semula. Kali ini kami adalah malaikat-malaikat yang mewartakan kebaikan Allah kepada semua.
Enam minggu kemudian, saya kebetulan melawat mereka sekali lagi dan si ibu datang kepada saya untuk mengucapkan terima kasih kepada saya dan membisikkan di telinga saya bahawa dia akan mendapatkan pembaptisan untuk bayinya dan memanggilnya … Albert.
Ha, ia menceriakan hari saya. Saya rasa berbesar hati, bersyukur dan bersukacita, dengan hati yang amat sukacita kerana menyedari Allah mengasihi semua orang, tidak kira apa pun situasi kita.
Ia kini sudah lebih 10 tahun yang lepas, dan saya diberitahu bahawa si Albert yang cilik adalah sedikit nakal seperti saya sendiri ketika saya sekecil itu. Allah akan memberkatinya. Yang ini, saya memang yakin.
Saya boleh katakan bahawa ia adalah Krismas saya yang paling indah, dan tidak akan pernah saya lupakan.
Saya mengucapkan Selamat Menyambut Krismas yang indah dan tidak akan pernah dilupakan kepada anda semua.
Puji Tuhan
Fr Albert Jacobse, MHM (Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: A Christmas Not to Forget