74 guru Sekolah Minggu Paroki Holy Spirit lawat Gereja St Augustine, Paroki Kecil Tebedu

Guru-guru Sekolah Minggu melawat Tebedu.

Oleh Catherina Ra Flora

LUNDU — Seramai 74 orang guru Sekolah Minggu dari seluruh Paroki Holy Spirit menyertai lawatan ke St Augustine, Paroki Kecil Tebedu, pada 26–27 Oktober 2024.

Rombongan disambut dengan penuh mesra oleh komuniti setempat, termasuk Jawatankuasa Gereja Kampung (KGK), Ladies Guild, guru-guru Sekolah Minggu, murid-murid Sekolah Minggu, dan belia dari paroki kecil tersebut. 

Sambutan hangat menggambarkan semangat persaudaraan dan kebersamaan dalam kalangan komuniti Gereja St Augustine.

Salah satu acara yang paling menarik perhatian pada hari pertama lawatan adalah perlawanan futsal persahabatan yang melibatkan tiga pasukan.

Dua pasukan dianggotai kaum wanita sahaja, sementara satu pasukan lagi merupakan gabungan pemain lelaki dan wanita. 

Perlawanan futsal ini bukan sahaja mencetuskan semangat kesukanan dalam kalangan peserta, malah memberi peluang kepada mereka untuk saling mengenali dalam suasana yang santai dan menyeronokkan. 

Suasana di padang futsal dipenuhi dengan sorakan semangat daripada rakan-rakan yang memberi sokongan. 

Pada sebelah malam, acara ‘Community Night’ menjadi kemuncak kepada program ini. 

Acara ini diisi dengan pelbagai persembahan menarik yang melibatkan pelbagai kumpulan, termasuk para guru Sekolah Minggu Paroki Holy Spirit, para guru Sekolah Minggu Gereja St Augustine, belia serta Ladies Guild St Augustine.

Suasana pada malam itu dipenuhi dengan keceriaan dan kegembiraan, di mana setiap peserta menghargai setiap detik kebersamaan yang dicipta. 

Pada hari kedua, program diakhiri dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Pratap Baskey, CMF di Gereja Holy Cross, Tebedu. 

Misa ini memberi sentuhan kerohanian yang mendalam kepada semua peserta untuk mengakhiri program ini dengan penuh keberkatan dan rasa syukur. 

Kesempatan untuk berdoa dan merenung bersama dalam suasana sakral ini menambahkan nilai rohani kepada keseluruhan program. 

Para peserta sempat bersarapan di Pasar Tebedu sebelum berangkat pulang.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berfungsi sebagai platform riadah, tetapi juga sebagai jalan untuk membina dan mengukuhkan hubungan antara para guru Sekolah Minggu dengan komuniti gereja.

Selain itu, ia memberi inspirasi kepada mereka untuk terus mengabdi diri kepada pelayanan mereka.

Program ini telah berjaya mencapai objektifnya selain menyemai nilai-nilai seperti kesepaduan, kepercayaan, dan sikap hormat-menghormati dalam kalangan peserta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.