Oleh Catherina Ra Flora
LUNDU — ‘Kids Camp’ Paroki Holy Spirit telah diadakan di Gereja St Felix Biawak di sini pada 30 November 2024.
Ia menarik penyertaan seramai 174 kanak-kanak dan 82 guru Sekolah Minggu dari sekitar kawasan paroki.
Program ini bertujuan untuk memupuk nilai keagamaan, perpaduan dan kerjasama dalam kalangan kanak-kanak serta memperkukuh hubungan antara guru-guru.
Acara dimulakan dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Adrian Kho, yang memberikan inspirasi rohani kepada semua peserta.
Dalam homilinya, beliau menekankan kepentingan pendidikan iman sejak usia muda, dan memuji usaha penganjur yang menyediakan pelbagai persiapan untuk kem pada kali ini.
Pelbagai aktiviti menarik telah dijalankan sepanjang program ini, termasuk menyusun gambar mengikut cerita dalam Al-Kitab, mencari harta karun, dan sukaneka kanak-kanak.
Setiap aktiviti dirancang untuk menggalakkan kerjasama, kreativiti dan pemahaman tentang nilai-nilai Kristian.
Aktiviti sukaneka bagi guru-guru turut diadakan untuk memberi peluang kepada mereka bersantai dan mengeratkan hubungan dengan satu sama lain.
‘Kids Camp’ pada kali ini turut dibantu oleh Ministri Belia Katolik daripada Zon Biawak.
Sebagai tuan rumah, jemaat Gereja St Felix Biawak memastikan semua peserta merasa selesa dan dijamu dengan layanan mesra.
Kanak-kanak kelihatan ceria dan bersemangat sepanjang program, terutamanya semasa acara mencari harta karun yang menjadi tumpuan utama kem.
Program diakhiri dengan doa penutupan oleh Katekis Pearson Ayung serta acara penyampaian hadiah kepada para pemenang aktiviti.
‘Goodies’ atau cenderahati turut diberikan kepada semua kanak-kanak Sekolah Minggu.
Senyuman terpancar pada wajah setiap peserta, tanda kejayaan program ini dalam memberikan pengalaman bermakna kepada mereka.
‘Kids Camp’ ini bukan sahaja memberikan kenangan indah kepada kanak-kanak yang menyertainya tetapi juga menguatkan semangat komuniti dalam kalangan umat Paroki Holy Spirit.
Pihak pendidikan keagamaan paroki berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan untuk membimbing generasi muda dengan nilai-nilai murni dan kecintaan terhadap iman mereka.