Oleh Shannon Wei
KUCHING — Kolej St Peter mengadakan Misa Kesyukuran tahunan untuk ‘Friends of St Peter’s’ pada 3 November 2022, yang turut menyaksikan seramai 15 seminarian diangkat ke Ministri Lector dan Ministri Acolyte.
Misa Kesyukuran ini lazimnya dirayakan di Katedral St Joseph, sebagai ucapan terima kasih kepada para penderma seminari, juga dikenali sebagai Friends of St Peter’s.
Turut menyertai sahabat-sahabat ini di Misa tersebut adalah seminarian dan kakitangan kolej, anggota religius, dan saudara-mara calon-calon yang datang dari Semenanjung Malaysia untuk menyaksikan upacara ini.
Sembilan calon yang diangkat ke dalam Ministri Lector adalah Addie Frank Anak Lingge (Kuching), Anthony Robert a/l Peter dan Philip a/l Asirwalam (Kuala Lumpur), Brywinedren Godon dan Timothy Ivan Galisin (Keningau), Scany Polycarp, Adrian Linus Lojikip dan Yoseph Jup Matias (Kota Kinabalu), dan Joel Rut Markus (Miri).
Enam calon yang diangkat ke dalam Ministri Acolyte adalah Canisius Benjamin (Kota Kinabalu), Dannie Luis Anak Romanus (Kuching), Jonathan Andrew Rao a/l James (Kuala Lumpur), Nelbart Peter (Keningau), Pierre Chang Ming Lung (Melaka-Johor), dan Ricki Boy Bin Hasim (Sandakan).
Uskup Joseph Hii dari Sibu, yang memimpin Misa, disertai lapan paderi yang sama-sama merayakan Misa.
Dalam homili beliau, Uskup Joseph mengingatkan calon-calon bahawa upacara ini adalah “pentahbisan kecil” ke arah kepaderian, untuk menunaikan misi-Nya yang mewartakan Injil kepada seluruh dunia.
Kepada ‘Friends of St Peter’s’, beliau berkata ia bukan sahaja satu penghormatan untuk dipanggil sahabat-sahabat St Peter, tetapi juga rakan-rakan Kristus.
“Kita berbesar hati dipanggil rakan-rakan Kristus sendiri, bukan kerana apa yang kita dapat kongsikan dalam Karya-Nya, tetapi kerana pembaptisan kita yang kita dipanggil menerusi pengurapan minyak Krisma.”
Kepada umat Tuhan, beliau menggesa mereka untuk tidak mencari perbezaan di antara berbagai peranan Gereja apabila menimbang tiga peranan Kristus: untuk menjadi nabi, paderi, dan raja (gembala).
“Kita sebagai umat biasa, ketika kita mengambil bahagian dalam upacara ini pada hari ini, diingatkan mengenai bahagian dalam peranan Kristus sebagai nabi, untuk membawa Sabda Tuhan kepada seluruh umat manusia.”
Sejurus selepas Misa, lector dan acolyte baharu menerima sijil masing-masing daripada Uskup Joseph pada majlis makan malam persaudaraan di Kolej St Peter.
(Terjemahan)
Berita dalam Bahasa Inggeris: 15 seminarians installed as lectors, acolytes at Friends of St Peter’s Annual Thanksgiving Mass