Oleh Cikgu Walter Angan
SERIAN — Pada 20 hingga 21 April lepas, Jawatankuasa Pembentukan Iman Keuskupan Agung Kuching dengan bantuan Jawatankuasa Sekolah Minggu Peringkat Kampung Paroki St Theresa di sini telah menganjurkan Program Pembentukan Kateketikal Guru Sekolah Minggu di Home Stay Awah Kampung Pichin.
Seramai 130 orang guru Sekolah Minggu dari paroki berlainan telah menyertai program tersebut.
Ia dimulakan dengan Misa Kudus yang dirayakan oleh Fr Lazarus Swinie yang seterusnya berkongsi tentang kerohanian (spirituality), panggilan dan misi seorang guru agama.
Beliau menjelaskan tentang makna panggilan tersebut dan betapa pentingnya untuk menerimanya selain menyentuh tentang kepentingan menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan sebagai seorang guru agama. Tanggungjawab tersebut hendaklah dipikul dengan betul dan mengikut ketetapan yang telah dibuat oleh pihak Gereja.
Fr Lazarus juga menasihatkan guru agama agar sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu keagamaan, dan harus peka dengan perubahan semasa bagi menangani pelajar.
Beliau seterusnya memberikan motivasi kepada guru agama supaya meneruskan usaha mereka dalam mengajar pelajar Sekolah Minggu walaupun ianya dibuat secara sukarela.
Perkongsian kedua disampaikan oleh Stephanie Ng yang bertajuk ‘Buku Teks MCS dan Kaedah Mengajar Sekolah Minggu’.
Beliau secara terperinci berkongsi dengan peserta mengenai isi kandungan yang terdapat dalam buku teks MCS.
Pada sebelah malamnya, perkongsian dibuat oleh beberapa orang guru Sekolah Minggu yang dimulakan oleh Katekis Lena Sabang.
Mereka berkongsi bagaimana mereka telah mendapat panggilan untuk menjadi guru agama, dan pengalaman mereka dalam mengendalikan Sekolah Minggu di tempat masing-masing.
Program telah diserikan lagi dengan malam ramah tamah, di mana tema yang ditetapkan adalah mengenai senario dan juga simulasi kelas Sekolah Minggu.
Semua persembahan yang dibuat oleh peserta, seperti nyanyian, lakonan dan tarian, sangat menarik dan boleh dijadikan sebagai inspirasi untuk dijalankan di Sekolah Minggu masing-masing.
Hari kedua dimulakan dengan doa pagi, dan tujuh langkah perkongsian Al-Kitab yang telah dibuat oleh setiap kumpulan.
Perkongsian peserta dalam kumpulan sangat bermakna bagi setiap individu dan boleh diteruskan dengan pelajar sendiri nanti apabila mereka kembali ke tempat masing-masing.
Cosmas Klumai pula berkongsi tentang ‘Pengurusan Kelas Sekolah Minggu’ di mana beliau menerangkan tentang pelbagai cabaran yang dihadapi dalam menjalankan Sekolah Hari Minggu.
Beberapa langkah telah dicadangkan dan penyelesaian boleh dibuat bagi mengatasi cabaran tersebut.
Beliau juga berkongsi sedikit mengenai pengalamannya sebagai panduan bagi peserta yang sangat tertarik dan setuju bahawa cabaran yang dikongsikan adalah lebih kurang sama dan dapat diselesaikan.
Perkongsian terakhir disampaikan sekali lagi oleh Stephanie Ng yang lebih menjurus kepada peranan Guru Sekolah Minggu.
Melalui perkongsian ini, Stephanie menekankan betapa perlunya semua guru agama menjalin hubungan erat dengan Tuhan dan seterusnya menyiapkan diri dengan ilmu dan bersedia untuk mengalami transformasi dalam diri mereka.
Setiap guru agama harus menyiapkan diri dengan ilmu keagamaan Katolik yang kukuh serta sentiasa peka dengan perubahan yang berlaku di sekeliling mereka.
Hal ini sangat penting untuk menangani masalah pada alaf baharu, terutamanya berkaitan dengan masalah sosial remaja.
Beliau juga menekankan tentang cara untuk mendekati pelajar yang mungkin perlu dibuat mengikut tahap berbeza semasa pengajaran dijalankan di Sekolah Minggu.
Seterusnya, semasa sesi soal jawab, peserta mencadangkan agar program ini diteruskan pada masa mendatang.
Ia ditutup dengan Perayaan Misa Kudus oleh Fr Lazarus yang sekali lagi mengingatkan semua supaya sentiasa bertanggungjawab dengan peranan masing-masing dan mengikut segala garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak Gereja.
Perkongsian peserta:
“Ini merupakan program pertama yang saya sertai sejak menjadi guru Sekolah Hari Minggu, setahun lalu. Program ini telah membuka minda dan menaikkan semangat dan azam saya untuk terus melayani anak-anak sebagai seorang guru Sekolah Hari Minggu. Tambahan pula, saya juga dapat belajar cara-cara mengajar yang betul dan proses mengajar melalui program ini.” – Ellis Ajin, Paroki Holy Spirit, Lundu
“Kali pertama mengikut program pembentukan kateketikal ini benar-benar memberi manfaat kepada saya. Saya diajar tentang kaedah-kaedah pengajaran, definisi istilah-istilah yang berkaitan dengan kateketik, pengurusan kelas dan banyak lagi. Perkongsian pengalaman daripada beberapa guru Sekolah Hari Minggu telah membantu saya membuat keputusan untuk melayani sebagai seorang guru Sekolah Hari Minggu di kampung saya.” – Nomi Muning, Paroki St Theresa, Serian
“Saya ingin menyatakan kesyukuran saya kepada pasukan yang telah menganjurkan program yang begitu baik sekali. Saya mendapat banyak informasi dan formasi. Program ini amat menarik dengan kerja berkumpulan, perkongsian pengalaman, dan nyanyian bersama. Saya benar-benar berharap untuk mengadakan bengkel kateketikal pada masa depan. Semoga kasih dan rahmat Tuhan sentiasa bersama kita.” – Stephanie Brooka, Gereja St Mark, Batu Kawa
“Betapa pentingnya merujuk kepada buku ‘Katekisme Gereja Katolik’ (KGK) untuk katekisis kanak-kanak, orang muda dan orang dewasa, dan bukan mengikut, idea, perasaan dan pendapat sendiri.” – Rose Luncha (Our Lady Star of Sea, Bintawa), Paroki St Peter, Padungan
“Disebabkan kekurangan guru Sekolah Hari Minggu, maka saya menyahut panggilan Tuhan untuk melayani dalam ministri kateketik di kampung saya. Saya merasa sangat bersemangat setelah mengikut program ini di Kampung Pichin apabila mendengar pengalaman dan kesulitan yang dihadapi oleh guru-guru Sekolah Hari Minggu di paroki masing-masing dan bagaimana mereka mengatasi dan tetap setia dalam pelayanan mereka. Saya berdoa semua yang terlibat dalam pelayanan Sekolah Hari Minggu ini diberkati Tuhan selalu. Amen.” – Jijot Akey, Paroki St Stephen, Bau
“Banyak yang saya pelajari dalam program ini, antaranya sesi perkongsian dalam kalangan peserta di mana masing-masing menceritakan pengalaman hidup, daripada kelemahan berubah kepada satu kejayaan dengan mengikuti Yesus di dalam kehidupan dan pelayanan mereka sebagai seorang guru Sekolah Hari Minggu yang baharu. Selain itu, saya juga mempelajari langkah gaya hidup bunga matahari. Biarlah kita (bunga matahari) mengajar dengan bimbingan cahaya (matahari) yang diberikan oleh Tuhan. Walaupun cahaya tersebut hilang pada malam hari, tapi bunga matahari akan menghadap bunga matahari di sebelahnya untuk mendapat sokongan ataupun berkongsi buah fikiran dan tidak menunduk. Semua ini membuka fikiran saya dan dijadikan sebagai inspirasi saya dalam pelayanan ministri kateketikal di paroki saya.” – Alphonsus Paul Malek Jigak, Paroki St Jude, Bunan
“Apa yang saya pelajari daripada program ini adalah saya sudah boleh mengenal pasti kategori katekisis dan mengetahui setiap matlamat yang perlu ada pada setiap ‘level’ dan cara mengambil perhatian pelajar. Saya lebih berkeyakinan untuk mengajar dan yang paling ketara, pembelajaran saya meningkatkan keimanan Katolik saya.” – Adeline Flora Tukun, Paroki St Ann, Kota Padawan
“Saya begitu seronok sewaktu program Formasi ini. Sesi perkongsian telah menguatkan semangat saya untuk meneruskan perjalanan ini sebagai seorang guru Sekolah Hari Minggu walaupun ada banyak cabaran. Saya mencadangkan program ini dikendalikan setiap tahun, dan buat promosi dengan baik untuk merekrut lebih ramai guru Sekolah Minggu. Pujian bagi Tuhan.” – Fiona Lulu Jaina, Katedral St Joseph, Kuching
“Saya merasa bersyukur kerana berpeluang menyertai program pembentukan kateketikal ini. Saya dapat beramah mesra dengan guru agama dari pelbagai paroki dan bertukar-tukar pengalaman kelas Hari Minggu. Sesi ceramah telah memberi pendedahan tentang silibus Sekolah Hari Minggu bagi Tahap 1-10 serta pengurusan bilik darjah yang relevan. Saya seronok menyanyi dan menari dengan lagu pujian untuk Tuhan Allah.” – Angela Moden Dindui, Paroki Sacred Heart, Kota Sentosa
“Para guru layak mendapat pengetahuan dengan lebih mudah supaya mereka boleh melayan dengan lebih kreatif dan bersemangat. Program ini telah dianjurkan dengan baik.” – Robert Jisa Mos @ Jim, Paroki Sacred Heart, Kota Sentosa
“Sebagai AJK dalam program ini, kerjasama daripada semua AJK memberikan impak positif apabila banyak tenaga disatukan dapat menyelesaikan masalah dengan cepat. Secara keseluruhannya, persiapan yang rapi adalah kunci utama bagi program yang sukses.” – Linda Gabel, AJK Program, Paroki St Theresa, Serian